ODISHA – Penemuan lima anak orang utan di negeri Odisha, India menimbulkan tanda tanya selepas spesies berkenaan bukan berasal dari negara itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan ia diseludup melalui sindiket perdagangan hidupan liar.
Kesemua haiwan itu ditemui penduduk di daerah Balasore pada Selasa lalu sebelum diselamatkan dan dihantar ke Taman Zoologi Nandankanan di Bhubaneswar untuk menjalani kuarantin serta pemantauan.
Pihak berkuasa memaklumkan orang utan berkenaan tidak mungkin tiba di negara dengan laluan semula jadi kerana habitat asal spesies itu hanya terdapat di Indonesia dan Malaysia.
Susulan itu, siasatan telah dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana haiwan tersebut boleh ‘tersesat’ ke India.
Orang utan merupakan antara spesies terancam kritikal dan sebarang perdagangan komersial antarabangsa spesies berkenaan dilarang di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).
Ia bukanlah kejadian pertama. Pada 2022, dua anak orang utan turut ditemui berhampiran sempadan Assam-Mizoram dan pihak berkuasa mengesyaki haiwan tersebut dibawa masuk melalui Myanmar. – Agensi
