Misbun ingin nilai pemain remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek ingin melakukan penilaian kepada pemain remaja dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja yang akan berlangsung secara tertutup di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Kejohanan yang akan diadakan selama tiga hari bermula esok itu akan menggunakan format 15 mata dengan 13 acara dipertandingkan membabitkan pemain-pemain bawah 15 dan juga bawah 18 tahun.

Kejohanan itu akan memperlihatkan 74 pemain dibahagikan kepada empat kumpulan; Junior Transformers, Junior Avengers, Junior Terminators dan Junior Dominators.

“Penilaian yang akan merangkumi apa yang dipelajari selepas menjalani latihan di rumah semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan latihan secara kuarantin. Kejohanan ini akan jadi panduan penilaian kepada pemain-pemain”, kata Misbun.

“Saya sudah puas hati dengan tahap disiplin dan keinginan yang ada dalam pemain pemain. Saya juga mahu lihat adakah pemain-pemain mampu mengadaptasi dengan modul latihan yang kita terapkan”, katanya lagi.

“Selain kecergasan, saya mahu lihat daya tahan pemain, teknikal, taktikal serta bagaimana mereka menyerap tekanan ketika berdepan situasi tidak menentu”, tambahnya.

BAM mengambil pendekatan menganjurkan pertandingan simulasi secara tertutup selepas program kem Road To Tokyo membabitkan pemain-pemain senior yang menjalani latihan secara kuarantin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Sumber: UM

Akmal Hakim
Sports Desk