Kelebihan mendengar muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Lifestyle: Muzik adalah satu medium bagi seseorang menenangkan diri dengan cara menghayati dan mengikuti setiap bait patah perkataan lirik lagu. Tahukah anda bahawa muzik juga merupakan satu terapi dalam kehidupan seharian. Terapi muzik turut bertindak sebagai satu ubat untuk jiwa dan perkembangan kesihatan dalam diri seseorang.

Bagi sesetengah orang, mereka beranggapan bahawa muzik menjadi faktor kepada kelalaian kehidupan seharian dan keserabutan dalam diri mereka. Meskipun kenyataan ini tidak dapat disangkal, tetapi bukan semua orang berpendapat sebegitu. Berdasarkan kajian, muzik secara tidak langsung dapat mempengaruhi otak untuk mengurangkan ketegangan.

Dalam kajian, terapi muzik ini dikategorikan kepada dua iaitu muzik aktif dan pasif. Terapi muzik didapati telah menambahkan kedua-dua kawalan motor dan fungsi emosi pada pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit atau ketidakupayaan.

Dikongsikan lima kelebihan mendengar muzik menurut Portal Kesihatan hellodoktor:

1. Mengurangkan kebimbangan dan tekanan

Mendengar muzik secara semula jadi dapat melegakan tekanan. Apabila dilakukan dalam persekitaran sesi terapi yang terkawal, ia boleh merendahkan tahap hormon tekanan dalam badan dan menolong seseorang mengawal ‘mood’ dengan lebih baik.

2. Membantu depresi

Sebelum memilih ubat-ubatan, terdapat pelbagai cara semulajadi bagi menambahkan ‘mood’ dalam tempoh masa panjang seperti bersenam dan meditasi (menenangkan diri). Apabila anda mula bekerja, perkara luar biasa mula berlaku terhadap tubuh dan minda anda. Justeru, penyelidik mendapati bahawa terapi muzik boleh membantu bukan sahaja menambahkan ‘mood’ depresi namun mengawal kadar degupan jantung, kadar pernafasan dan tekanan darah.

3. Menyihatkan jantung

Apabila mendengar muzik, percaya atau tidak bahawa tubuh akan bertindak balas tanpa disedari. Muzik boleh mempengaruhi kadar jantung dan membantu menambahkan tahap tekanan darah. Ini disebabkan muzik mempunyai kebolehan untuk menurunkan tekanan dan kerisauan yang secara langsung merendahkan tekanan darah.

4. Membantu perkembangan janin

Bagi bakal ibu yang sedang hamil sebaiknya memainkan muzik untuk bayi yang sedang berada dalam kandungan. Penyelidikan menunjukkan bahawa memainkan muzik yang diarahkan pada rahim semasa kehamilan mengakibatkan kanak-kanak menjadi lebih responsif kepada muzik selepas kelahiran. Menariknya, muzik juga boleh mempengaruhi perilaku positif neonatal. Di samping itu, ia juga membantu merendahkan tahap tekanan dan mengimbangi hormon ibu.

5. Membantu simptom autism

Kanak-kanak dan orang dewasa yang menghidap autism selalu mengalami kesukaran dalam menyampaikan emosi dan empati mereka kepada orang lain. Justeru, dengan terapi muzik boleh menolong mereka untuk mengurangkan tekanan dalaman dan halangan dalam berinteraksi.

Justeru, ubahlah persepsi terhadap muzik jika anda beranggapan ianya memberi kesan negatif. Cubalah dekatkan diri anda dengan muzik. Dengarilah apapun jenis muzik yang dapat menarik minat kerana semuanya mempunyai manfaat yang tersendiri.

Sumber: Daily Rakyat

Akmal Hakim
Lifestyle Desk