Sukan SEA 2021: Jonathan sasar ke Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Atlet pecut kebangsaan, Jonathan Nyepa tidak mahu memandang ke belakang lagi sebaliknya mahu meneruskan langkah dalam misi mendapatkan tiket ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Jonathan berkata bahawa dia kini memperoleh gambaran lebih jelas berkaitan perkara yang perlu diperbaikinya bagi menambahkan prestasi setelah berakhir saingan simulasi semalam.

Pelari berasal dari Sarawak itu cemerlang apabila mendominasi acara 100m dan 200m yang mana dia mengatasi raja pecut Asia Tenggara, Muhamad Haiqal Hanafi.

Jonathan mencatat 10.60 saat bagi acara 100m manakala 21.46s direkodkan dalam saingan 200m.

“Secara keseluruhan, dengan situasi semasa termasuklah COVID-19 yang melanda ketika ini, saya berpuas hati dengan prestasi saya. Saya dapat lihat di mana tahap prestasi saya sekarang”, kata Jonathan.

Jonathan yang sebelum ini sudah tiga kali beraksi dalam Sukan SEA berkata walaupun susah untuk melakukan sebarang perancangan khusus pada masa ini disebabkan COVID-19 namun dia tetap akan terus fokus dalam sesi latihan.

“Perancangan memang ada tetapi belum pasti lagi kejohanan apa yang akan disertai tahun depan. Sekarang ini saya fokus latihan sebagai persiapan untuk menghadapi mana-mana kejohanan pertama yang boleh disertai. Setakat ini sasaran utama saya adalah untuk layak ke Sukan SEA tahun depan”, katanya.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Sports Desk