Misi bantu suri rumah, Port Makanan RM3 dapat sambutan orang ramai

lizamridzuan@hmetro.com.my

Klang: Menawarkan pelbagai juadah pada harga tetap RM3, Port Makanan RM3 di Meru di sini menjadi antara pilihan penduduk setempat yang mencari sarapan dan makan tengah hari pada harga mampu milik.

Peniaga, Hazman Tarmizi berkata, gerai itu mula beroperasi kira-kira setahun lalu dan bakal menyambut ulang tahun pertama pada Ogos ini.

Dia berkata, pada awalnya, peniaga hanya menyediakan dua atau tiga meja untuk jualan kuih-muih sebelum berkembang dengan misi membantu ibu tunggal dan suri rumah menjana pendapatan melalui penyediaan makanan.

“Sekarang makanan yang dijual bukan saja kuih, tetapi turut merangkumi nasi, lauk-pauk, makanan berkuah, bubur dan pencuci mulut. Kebanyakannya dibekalkan penduduk setempat dan menu berubah setiap hari,” katanya.

Menurutnya, harga RM3 ditetapkan dengan mengambil kira kemampuan penduduk sekitar, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Gerai dibuka dari jam 11 pagi hingga 6 petang, tetapi kebiasaannya makanan sudah habis sekitar jam 2 petang. Waktu paling ramai pelanggan adalah dari gerai dibuka hingga jam 2 petang,” katanya.

Hazman berkata, dia turut membantu mempromosikan gerai itu kerana pada awalnya masih ramai penduduk sekitar tidak mengetahui kewujudannya.

Selain jualan secara terus, gerai itu turut menerima tempahan dalam jumlah besar daripada kilang berhampiran serta pesanan menerusi platform penghantaran makanan, dengan ‘rider’ kerap datang mengambil makanan untuk pelanggan.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Shahriza Mat Daud berkata, dia pertama kali singgah selepas tertarik melihat kain rentang yang mempromosikan makanan RM3 ketika melalui kawasan berkenaan.

“Saya nampak kain rentang harga RM3 dan sebab itu saya tertarik untuk singgah. Pilihan makanan pun banyak, ada kuih-muih dan nasi. Harganya memang berpatutan,” katanya.

Pelanggan lain, Zailani Abd Latiff berkata, dia sudah beberapa kali berkunjung ke gerai itu kerana harga yang murah dan pilihan makanan yang banyak.

“Memang saya selalu singgah kalau lalu kawasan ini. Kalau datang, biasanya saya beli banyak untuk makan satu keluarga. Pernah juga sampai RM50 sebab harga RM3, jadi boleh ambil macam-macam,” katanya.

Katanya, terdapat juga tempat lain yang menawarkan makanan pada harga murah, namun pilihan makanan di Port Makanan RM3 lebih banyak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top