Misi GSF: Kementerian Luar Negeri mesyuarat antara agensi, bincang situasi peserta

Misi GSF: Kementerian Luar Negeri mesyuarat antara agensi, bincang situasi peserta

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri mengadakan mesyuarat antara agensi, hari ini, bagi membincangkan situasi terkini rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Wisma Putra dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan mesyuarat kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan itu bagi memastikan tindakan segera dan menyeluruh dapat diambil.

Katanya, ini termasuk usaha diplomasi, bantuan konsular serta koordinasi dengan pihak antarabangsa.

“Kementerian Luar Negeri akan memastikan mereka yang terbabit menerima sokongan serta bantuan konsular diperlukan bagi menjamin kepulangan segera dan selamat ke tanah air.

“Doa dan sokongan berterusan rakyat Malaysia amat dihargai dalam usaha bersama ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan semua sukarelawan warga Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Wisma Putra dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan pihaknya akan memastikan kesemua mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Ia membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan oleh rejim Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top