Misi ketenteraan Australia di Afghanistan berakhir

SYDNEY: Menteri pertahanan Australia hari ini mengesahkan berakhirnya misi ketenteraan negara itu dalam perang Afghanistan selama 20 tahun sudah ditamatkan.

Australia mengumumkan pada April lalu, bahawa akan membawa keluar baki anggota tenteranya sebelum September ini, sejajar dengan keputusan AS untuk menamatkan operasi ketenteraannya di negara yang dilanda perang itu.

Menteri Pertahanan, Peter Dutton memberitahu Sky News bahawa 80 anggota tentera sokongan negara itu akan meninggalkan Afghanistan dalam tempoh terdekat.

“Namun, ia tidak bermaksud kita tidak akan menjadi sebahagian daripada kempen dengan Amerika Syarikat (AS)… di mana kita menganggapnya adalah demi kepentingan nasional atau demi kepentingan sekutu kita.

“Buat masa ini, kempen ketenteraan kita di Afghanistan sudah berakhir,” katanya.

Australia mengerahkan 39,000 tentera selama 20 tahun terakhir sebagai sebahagian daripada operasi yang dipimpin AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi memerangi terhadap Taliban dan kumpulan pengganas di Afghanistan, iaitu sebuah misi yang menelan belanja berbilion dolar dan menyebabkan 41 tentera terkorban.

Australia mula menarik anggota tentera di bahagian hadapan untuk berperang di Afghanistan sejak 2013.

Kumpulan veteran tentera turut mendesak kerajaan untuk melancarkan siasatan rasmi mengenai jumlah kes bunuh diri yang tinggi di kalangan veteran tentera termasuk bekas tentera lelaki dan wanita yang berkhidmat di Afghanistan.

Tentera dan polis juga secara aktif menyiasat dakwaan bahawa anggota elit Perkhidmatan Khas Tentera Udara negara itu melakukan jenayah perang di Afghanistan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd