am@hmetro.com.my
Ramai orang mendaki gunung kerana mahu melihat dunia daripada puncak.
Namun, bagi pendaki negara, Thillaimuthu Nagarajan yang dikenali sebagai RJ Nagarajan, 59, setiap langkah yang diambil di lereng gunung sebenarnya membawa beliau lebih dekat untuk mengenali dirinya sendiri.
Katanya, di puncak gunung, tiada siapa peduli apa jawatan kita, berapa banyak harta dimiliki atau sehebat mana pencapaian yang pernah diraih.
Yang tinggal hanyalah seorang manusia yang sedang bertarung dengan cuaca, ketakutan dan dirinya sendiri.
“Orang selalu kata, orang yang daki gunung adalah seorang individu, tetapi orang yang turun dari gunung ialah individu yang berbeza.
“Saya sangat percaya perkara itu kerana setiap gunung mengajar sesuatu yang baharu tentang kehidupan,” katanya.
Menurut beliau, aktiviti mendaki bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, sebaliknya membentuk karakter seseorang.
Katanya, sepanjang berada di gunung, pelbagai cabaran perlu dihadapi, daripada kehabisan bekalan air, cuaca yang berubah secara tiba-tiba sehinggalah membantu rakan seperjalanan yang tidak lagi mampu meneruskan pendakian.
“Semua pengalaman itu mengajar saya menjadi lebih sabar, lebih rendah diri dan lebih memahami manusia.
“Sebab itu saya selalu galakkan orang keluar berjalan, tidak semestinya mendaki gunung tinggi. Alam mengajar kita banyak perkara yang kita tidak belajar di tempat lain,” katanya.
Bagi sesetengah orang, kekuatan diukur melalui otot dan ketahanan tubuh.
Namun, baginya, segala-galanya bermula daripada minda.
Beliau yang kini aktif berkongsi ilmu neurosains dan psikologi percaya, seseorang perlu menang dalam fikirannya terlebih dahulu sebelum mampu mengatasi cabaran di dunia sebenar.
“Sebelum kita melakukan sesuatu, kita sebenarnya sudah melakukannya dalam otak terlebih dahulu.
“Kalau kita sentiasa bercakap perkara yang positif kepada diri sendiri, kita sedang melatih otak untuk menjadi lebih kuat,” katanya.
Pemahaman itu menjadi pegangan paling besar ketika beliau berdepan ujian selepas ekspedisi Gunung Everest pada 2022 yang menyebabkan beberapa jarinya terpaksa menjalani pembedahan rekonstruktif.
Beliau mengakui, ketika dimaklumkan mengenai prosedur itu, beliau melalui fasa yang cukup sukar sehingga berasa marah kepada diri sendiri, kecewa dan tidak pasti bagaimana masa depannya.
“Bukan kesakitan yang saya takutkan. Saya cuma tertanya-tanya apa yang akan berlaku kepada hidup saya selepas ini.
“Saya diam dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa ketika itu,” katanya.
Namun, katanya, sokongan keluarga, rakan-rakan serta pasukan doktor sedikit demi sedikit mengembalikan keyakinannya.
Lebih penting, beliau memilih untuk tidak terus terperangkap dalam kesedihan.
“Saya sedar, kalau saya sendiri tidak keluar daripada kemurungan itu, tiada siapa yang boleh membantu saya.
“Saya mula meyakinkan diri bahawa saya akan kembali mendaki. Sasaran itu menjadi sebab untuk saya terus bangkit,” katanya.
Kini, walaupun menggunakan prostesis khas pada tangan kanannya, beliau masih meneruskan minat ndaki dan sedang melengkapkan misi menawan 14 gunung tertinggi dunia.
Baginya, gunung tidak pernah menjadi musuh.
Sebaliknya, setiap pendakian menjadikan dirinya seorang lelaki yang lebih matang daripada semalam.
“Saya mungkin kehilangan beberapa jari, tetapi saya memperoleh perspektif baharu tentang kehidupan.
“Dulu saya mengejar puncak. Hari ini, saya lebih menghargai perjalanan untuk menjadi manusia yang lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




