LUMUT: Pelarian Rohingya di sini mengakui selesa tinggal di Malaysia kerana kehidupan yang aman, namun kerinduan terhadap tanah air tidak pernah pudar dan mereka berharap dapat kembali ke Myanmar apabila keadaan keselamatan mengizinkan.
Amir Husson Jafar Husson, 36, berkata, mereka hanya mencari perlindungan sementara di Malaysia sehingga negara asal kembali aman untuk didiami.
Katanya, dia terpaksa meninggalkan kampung halaman dan ahli keluarga demi mencari perlindungan serta kehidupan yang lebih selamat setelah tiba dengan menaiki kapal dari Myanmar pada 2005
“Kami mangsa perang yang terpaksa melarikan diri dari Myanmar untuk mencari perlindungan di Malaysia. Di sini kami boleh bekerja dan hidup dengan aman kerana tiada peperangan.
“Saya kini mempunyai empat orang anak. Anak sulung berusia 11 tahun manakala yang bongsu berusia lima tahun dan kesemuanya dilahirkan di Malaysia.
“Saya memang mahu pulang ke Myanmar, tetapi belum sampai masanya. Kami sangat merindui negara asal dan berharap suatu hari nanti dapat kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pelarian Rohingya, Abu Zamankhan, 49, berkata, dia turut berhasrat pulang ke negaranya selepas lebih tujuh tahun menetap di Malaysia.
Katanya, dia bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan RM80 sehari bagi menyara kehidupannya selain menyewa bilik bersama beberapa rakannya.
“Tinggal di Malaysia memang aman, seronok dan kami bebas mencari rezeki. Di sini tiada peperangan atau pergaduhan, malah masyarakat Malaysia juga baik. Kami juga mudah beribadat di sini,” katanya. – UTUSAN




