am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Nasib tiga sekeluarga yang terpaksa tinggal di rumah berdindingkan kanvas di Kampung Melayu Pandan, di sini, mengundang simpati ramai.
Difahamkan ruangan dalam dan dinding rumah mangsa yang juga ibu tunggal, Rafizah Jonit, 51, rosak dirempuh kereta kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Chan San San berkata, pihaknya mengunjungi keluarga terbabit petang kelmarin selepas menerima maklumat kejadian itu.
“Akibat kejadian itu dinding rumah runtuh serta menjejaskan keselesaan penghuni rumah itu.
“Kami akan mengambil tindakan susulan dan berusaha menyalurkan bantuan diperlukan bagi meringankan beban mereka.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu mengurus keadaan,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan bilik tidur sebuah rumah di Kampung Melayu Pandan, di sini, mengalami kerosakan selepas dirempuh kereta Proton Saga dipandu seorang wanita dipercayai tersilap menekan pedal minyak kenderaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiada penghuni berada di rumah kerana pemilik kediaman bersama anak dan abangnya keluar bekerja.
Pemilik rumah, Rafizah Jonit, 51, menyatakan dia dimaklumkan berkaitan kejadian itu selepas dihubungi jiran sebelum bergegas pulang ke rumah.
Buat masa ini, bahagian rumah yang rosak hanya ditutup menggunakan kanvas kerana ibu tunggal itu buntu memikirkan kos pembaikan.
Rumah itu dihuni Rafizah bersama abang kandung serta anak lelakinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




