Misi sayu: Pasukan penyelamat jumpa mayat ibu rakan setugas

Misi sayu: Pasukan penyelamat jumpa mayat ibu rakan setugas

Medan: Suasana pilu menyelubungi anggota Brigade Mobil (Brimob) Polis Daerah Sumatera Utara (Polda Sumut) apabila mereka menemui jenazah mangsa tanah runtuh yang disahkan sebagai ibu kepada rakan sekerja mereka sendiri.

Memetik laporan Kompas, mangsa, Tiurmalina Boru Sinaga, 70, ditemukan di Kelurahan Nauli, Kecamatan Sibolga, Sumatera Utara.

Mayat itu ditemukan pada Isnin lalu ketika anggota Brimob menjalankan operasi mencari mangsa banjir dan tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Wanita itu adalah ibu kepada rakan sekerja mereka, Aipda Simson Pakpahan sekali gus menimbulkan suasana sayu dalam kalangan anggota yang bertugas.

Rasa sayu itu semakin bertambah kerana Aipda Simson Pakpahan tidak berada di lokasi penemuan jenazah ibunya kerana sedang bertugas di tempat lain.

Pemimpin operasi pencarian Kompi 2 Siaga Batalion-A, Asisten Komisioner Polis Alamsyah Surbakti menyifatkan penemuan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab moral.

“Dalam setiap bencana, ada kesedihan yang perlu ditanggung dan kepastian yang perlu diberikan kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan bertulis pada Selasa lalu.

“Hari ini, kami bukan sekadar menjalankan tugas sebagai anggota keselamatan tetapi juga sebagai sesama saudara yang turut merasai kehilangan,” katanya.

Alamsyah menegaskan bahawa penemuan jenazah Tiurmalina bukan sahaja membawa dukacita mendalam kepada keluarga namun turut menimbulkan semangat solidariti dalam kalangan anggota Brimob yang bertugas.

Meskipun diselubungi suasana sayu, semua anggota tetap bertugas secara profesional bagi memastikan proses evakuasi dijalankan dengan penuh kehormatan kepada jenazah.

Beliau juga menegaskan bahawa Brimob Polda Sumut akan terus melakukan tugas di kawasan berisiko lain di Sibolga bagi memastikan operasi pencarian dan pertolongan berjalan optimum.

“Setiap mangsa adalah amanah bagi kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top