Misi sukar kebangkitan Arsenal

England: Pada awal pagi esok, Arteta bakal berdepan satu lagi ujian besar apabila melayan kunjungan Chelsea di Stadium Emirates. Pertembungan itu boleh menjadi peluang terbaik buat Arsenal untuk bangkit setelah lapan kali kalah dalam 14 perlawanan liga setakat ini.

Jika kemenangan berjaya dirakamkan mengatasi pasukan bimbingan Frank Lampard, ia sudah tentu bakal memberi motivasi kepada The Gunners menjelang sambutan tahun baru. Namun, satu lagi kekalahan akan mengakibatkan pasukan itu terus terperosok dan bakal bergelut di dalam zon penyingkiran selain Arteta berkemungkinan dipecat.

Persoalan penting adalah adakah Arsenal mampu menundukkan lagi The Blues seperti yang mereka lakukan di perlawanan akhir Piala FA musim lepas.

Chelsea yang terbaru mengetepikan West Ham 3-0 untuk kembali berada di kelompok lima teratas liga pastinya juga tidak mahu berputih mata. Tambahan pula, mereka sudah tentu mahu merapatkan lagi jurang dengan pendahulu liga terkini iaitu Liverpool yang sedang mengumpul 31 mata ketika ini.

Berdasarkan rekod lampau liga, Chelsea cuma kalah dua kali daripada 17 pertemuan terakhir (9 menang, 6 seri) berdepan Arsenal sebelum ini iaitu tumpas 0-3 pada September 2016 dan 0-2 Januari 2019.

Dengan kini Chelsea kembali mendapat keyakinan setelah dikejutkan Wolves, 1-0 pada 16 Disember lalu, ramalan keputusan perlawanan di atas kertas sewajarnya berpihak kepada The Blues.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top