MKN harus kaji cadangan MFL untuk teruskan Piala Malaysia

Kuala Lumpur: Beberapa jurulatih Liga Malaysia (Liga-M) berpendapat bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus mengkaji cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) agar pertandingan Piala Malaysia diadakan di kawasan yang tidak terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menjelaskan bahawa mereka telah bersiap sedian untuk bermain di gelanggang neutral iaitu Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur di Kuantan.

Jurulatih kelahiran Singapura itu yakin bahawa para pemainnya tidak akan mengalami kesulitan untuk mematuhi SOP yang lebih ketat.

“Kami berharap dapat terus bermain dalam pertandingan ini tetapi kami akan menghormati perancangan yang dibuat oleh MFL dan juga keputusan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MFL semalam.

“… yang penting adalah keselamatan semua orang. Bagi saya, tidak ada masalah bermain di gelanggang neutral”, kata Aidil yang membimbing Kedah ke final Piala Malaysia tahun lalu.

Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid merasakan hal yang sama dengan menggambarkan cadangan MFL (agar baki perlawanan Piala Malaysia diadakan di gelanggang neutral) adalah adil kerana berbaki tujuh perlawanan lagi (empat di suku akhir, dua di separuh akhir dan satu di final).

“MFL telah memberikan saranan yang baik untuk mengadakan pertandingan di gelanggang neutral”, kata Manzoor Azwira.

MFL mengeluarkan kenyataan semalam dengan menyatakan bahawa mereka telah membuat rayuan kepada MKN bagi meneruskan saingan Piala Malaysia 2020 dengan perancangan untuk menggunakan gelanggang neutral iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dan Stadium Darul Makmur.

Ini berlaku berikutan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa MKN telah memutuskan untuk menangguhkan saingan Piala Malaysia 2020 ke tarikh yang lain.

Di suku akhir akan menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) menghadapi Kuala Lumpur, Pulau Pinang menentang UiTM FC, Terengganu FC menentang Perak dan Kedah bertemu juara 33 kali, Selangor.

Pusingan pertama diadakan daripada 6-8 Nov, dengan suku akhir dijadualkan pada 12-13 November. Manakala separuh akhir pada 17 November dan final pada 22 November.

Sumber: Bernama

Akmal Hakim
Sport Desk