am@hmetro.com.my
Kluang: Kementerian Kewangan (MOF) sedang memuktamadkan senarai sekolah tambahan bagi pelaksanaan program Sekolah Angkat Madani (SAM) pada tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 1,000 sekolah terbabit dengan peruntukan RM100,000 bagi setiap sekolah.
Menurutnya, bagi peringkat pertama, sebanyak 504 sekolah bawah KPM dipilih oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta korporat untuk program SAM.
“Sasaran tahun ini adalah 1,000 buah sekolah dan Kementerian Kewangan pada ketika ini sedang memuktamadkan sekolah mana akan dipilih menyertai program SAM.
“Inisiatif ini adalah program kerja strategik antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan iaitu sekolah untuk meningkatkan pembangunan sosial, sahsiah di kalangan pendidik dan komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif SAM oleh kerajaan sekali gus bertepatan dengan aspirasi tujuh teras nadi keunggulan yang dilancarkan oleh KPM.
Katanya, usaha berkenaan selaras dengan perkembangan negara yang kini berasaskan teknologi seterusnya bakal melangkah menjadi negara maju.
“Sebelum ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan 1,000 sekolah di peringkat rendah dan menengah terbabit dalam inisiatif SAM. Kami sudah mengenal pasti 790 sekolah untuk melaksanakannya.
“Kita berbincang dengan Kementerian Kewangan serta peneraju industri dan korporat untuk menambah baik beberapa keperluan berkaitan dengan pendigitalan selain Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Katanya, program SAM akan memberikan tumpuan kepada lima teras utama iaitu penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah, program akademik, latihan dan pembagunan guru, bantuan kewangan dan biasiswa.
© New Straits Times Press (M) Bhd



