Mohamad Rafi dilantik Pengerusi MARA Corporation

Mohamad Rafi dilantik Pengerusi MARA Corporation

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan pelantikan Mohamad Rafi Shahzada sebagai Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd yang baharu berkuatkuasa pada 27 Mac 2024.

Pelantikan Mohamad Rafi bagi menggantikan Tan Sri Hamad Kama Piah yang memegang jawatan tersebut sebelum ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan Mohamad Rafi bagi memastikan potensi dan prestasi syarikat dapat dikembangkan dan dipertingkatkan.

“Saya memberi harapan kepada beliau atas kapasiti pengalamannya yang luas dalam dunia korporat supaya memastikan pemilikan, penyertaan dan penguasaan agenda Bumiputera dapat diperkasakan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada Hamad Kama Piah atas perkhidmatan beliau bermula Julai 2023 sehingga Mac 2024.

Asyraf berkata, jasa Hamad Kama telah banyak memberikan sumbangan dan manfaat kepada subsidiari MARA.

Untuk rekod, Mohamad Rafi, 57, memiliki kelayakan profesional perakaunan daripada London School Of Accounting & Emile Wolfe, United Kingdom. Beliau juga adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Accounting and Finance daripada University of Wales, 1991.- MalaysiaGazette