KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mewakili Malaysia menghadiri upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei di Tehran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mohamad dijadualkan berlepas ke Teheran pada Jumaat bagi menghadiri siri penghormatan terakhir kepada Allahyarham mewakili negara.
“Bagi upacara pengebumian Khamenei di Teheran, kita akan menghantar Menteri Pertanian untuk mewakili negara,” katanya pada sesi soal jawab sempena Meja Bulat Asia-Pasifik ke-37 di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai penyertaan Malaysia dalam upacara pengebumian bekas pemimpin tertinggi Iran itu.
Khamenei, 86, dilaporkan terkorban di kediamannya di tengah Teheran pada 28 Februari lalu susulan serangan bersama yang didakwa dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Jenazah Allahyarham dijadualkan disemadikan di Maqam Imam Reza di Mashhad pada 9 Julai selepas siri penghormatan terakhir dan perarakan jenazah berlangsung di Teheran serta Qom.
Majlis penghormatan terakhir Allahyarham akan berlangsung selama enam hari bermula 4 Julai.
Upacara pengebumian itu pada asalnya dijadualkan pada Mac lalu, namun ditangguhkan susulan peperangan.



