MOTAC@ Bintulu bantu jana pendapatan

MOTAC@ Bintulu bantu jana pendapatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu akan menganjurkan program MOTAC @ Bintulu selama tiga hari bermula 29 Disember.

Fokus utama program tersebut adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat menjana pendapatan melalui bidang perniagaan, penjualan produk kraftangan dan persembahan kesenian.

“Program ini juga memberi peluang kepada penduduk setempat, pelancong dalam dan luar negara mengenali dan menikmati keindahan serta keunikan Malaysia melalui aktiviti
seni, budaya dan warisan, khususnya melibatkan komuniti Bintulu,” kata MOTAC.

Kementerian itu menerusi kenyataan berkata, program berkenaan akan berlangsung di Lapang Lasar Kenyalang (Tapak Lapangan Terbang Lama), Bintulu, Sarawak.

Tambahnya, MOTAC @Bintulu juga akan menyediakan Festival ‘Kraf Borneo Kita’ yang akan berlangsung sehingga 7 Januari melibatkan seramai 75 usahawan kraf tempatan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung yang terdiri daripada bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

Pelbagai jualan produk makanan dan minuman melibatkan 100 buah gerai serta persembahan pentas dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian, nyanyian, persembahan buskers dan band tempatan.

“Kraf Borneo Kita’ yang berkonsepkan “Ini Budaya Malaysia” akan memaparkan keindahan kesenian dan kebudayaan Malaysia melalui aktiviti seperti pembuatan produk kraf, kesenian dan warisan Malaysia yang dapat dikongsi secara silang budaya di antara negeri-negeri,” ujar kementerian itu lagi.- MalaysiaGazette