Penjual buku tuntut PBAKL 2024 batal tempahan sebelum 15 Disember

Penjual buku tuntut PBAKL 2024 batal tempahan sebelum 15 Disember

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penerbit dan syarikat penjual buku menuntut supaya Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 membatalkan tempahan ruang jualan atau reruai yang dibuat sebelum 15 Disember.

Mereka mendakwa, tempahan berkenaan telah dilakukan sebelum penganjur membuka tarikh rasmi tempahan kepada umum.

“Ini jelas mencalarkan integriti JK PBAKL kerana telah mengundang rasa tidak puas hati, terzalimi dan amarah para peserta PBAKL2024 yang menempah mengikut saluran dan tarikh yang betul.

“Kami menuntut supaya pengagihan tapak dibuat semula secara undian semula. Kami menuntut supaya mengadakan suatu majlis pengundian tapak PBAKL 2024.

“Pada majlis ini undian semula perlu dibuat secara terbuka dan disaksikan oleh para peserta yang telah berdaftar,” katanya dalam emel yang dihantar kepada penganjur dan dikongsi di media sosial.

Katanya, jika penganjur tidak mengambil tindakan sewajarnya isu itu akan dipanjangkan ke peringkat Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Bantahan lain yang dikemukakan mereka termasuk tiada makluman awal dan rasmi untuk tarikh pembukaan tempahan pada 15 Disember 2023 daripada saluran hebahan dan emel rasmi penganjur.

Mereka mendakwa, penganjur juga tidak menyediakan makluman awal dan rasmi mengenai kenaikan harga sewaan tapak dari RM3500 menjadi RM3750 untuk ahli.

“Isu terbesar di sini ialah, apabila kami bergegas untuk membuat tempahan pada tarikh 15 Disember 2023, kami digemparkan bahawa hampir keseluruhan tapak telah ditempah lebih awal.

“Soalnya, kenapakah tempahan tapak sebelum 15 Disember 2023 boleh dibuat dan tapak-tapak yang telah ditempah awal itu didapati berada pada kedudukan yang strategik dan “traffic advantage”, berbanding dengan tapak-tapak terperosok di belakang yang masih kosong untuk ditempah pada tarikh pembukaan rasmi tempahan.

“Pada 15 Disember 2023 tempoh hari juga, kami diminta untuk membuat bayaran penuh, sedangkan amalan sebelum ini ialah bayaran deposit sebanyak 50 peratus. Kenapakah perlu melangsaikan bayaran 100 peratus. Sekali lagi tiada apa-apa makluman rasmi awal mengenai hal ini?” soalnya.

Penerbit dan syarikat yang menghantar emel berkenaan termasuk Pelita Dhihin, Kasi Terbit, Terbit Sendiri, Prolog Media, Akademi Jawi Malaysia, Pujangga Baru, Taman Pustaka, Rabak Lit, Toko Buku Rakyat, Tokosue, Dubook Press, Nuhabooks, Zain Bookhouse, Pustaka Islamiyah Holdings, Penerbitan Hayrat
dan Toko Buku Azbakia.

Sebelum ini Jawatankuasa Pengelola PBAKL dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mengadakan “Dialog ke arah PBAKL yang lebih baik” pada 29 Disember.- MalaysiaGazette