Muhyiddin beri bayangan BERSATU bakal bentuk gabungan politik baharu lebih hebat

Muhyiddin beri bayangan BERSATU bakal bentuk gabungan politik baharu lebih hebat

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa parti itu akan membentuk sebuah gabungan politik baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Gabungan dijangka menghimpunkan beberapa parti

 Menurut beliau, gabungan tersebut dijangka menghimpunkan beberapa parti termasuk yang berada dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin berkata, BERSATU tidak akan lagi bergerak bersendirian selepas PRN Negeri Sembilan dan rundingan bersama beberapa parti telah pun berlangsung sejak hampir setahun lalu.

“Saya nak berikan gambaran bahawa selepas PRN Negeri Sembilan ini, BERSATU tidak berseorangan lagi.

“Insya-ALLAH kita akan bentuk satu gabungan yang hebat selepas pilihan raya ini.

“Sebagaimana yang saya sebutkan sewaktu saya menubuhkan Perikatan Nasional dulu, banyak pemimpin datang yang datang dan antaranya Presiden Parti Urimai, Prof Dr P Ramasamy yang telah nyatakan kesediaan untuk bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BERSATU bagi PRN Negeri Sembilan pada Jumaat.

Dirancang perkukuh kekuatan politik

Menurut Muhyiddin lagi, gabungan baharu itu dirancang bagi memperkukuhkan kekuatan politik menjelang pilihan raya umum akan datang, selain mengambil kira perubahan landskap politik semasa.

Ketika ditanya sama ada gabungan berkenaan berbeza daripada Perikatan Nasional (PN), beliau berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan perinciannya, namun pendekatan yang bakal digunakan lebih progresif dan menepati kehendak rakyat.

“Kita tidak boleh ikut cara tradisional dan ini adalah pertimbangan yang kita ambil kira dari sudut kepentingan rakyat kerana ada sentimen tertentu memerlukan kita membentuk suatu gabungan yang lebih progresif, bukan konservatif.
“Selain itu gabungan yang dapat menonjolkan sentimen orang muda, wanita dan segala-galanya ini kita ambil kira bila kita selesai rundingkan dengan pihak-pihak yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Beberapa parti tunjuk minat

Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa parti menunjukkan minat untuk menyertai gabungan itu, namun enggan mendedahkan jumlah sebenar kerana rundingan masih belum dimuktamadkan.

“Waktu kita bentuk IPR dulu, tak silap saya sudah ada 12 parti termasuk Parti Orang Asli Malaysia. Jadi hampir sebahagian besar menyatakan minat mereka.
“Tapi saya tak payah ceritakan dulu ini kerana ia belum selesai, nanti sebaik sahaja selesai runding, kita akan maklumkan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan BERSATU masih kekal berada dalam gabungan Perikatan Nasional ketika ini.

Scroll to Top