Muhyiddin bidas Khaled Nordin, jangan perlekeh kemampuan Bersatu

Muhyiddin bidas Khaled Nordin, jangan perlekeh kemampuan Bersatu

SEREMBAN – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sebelum ini memperlekeh penyertaan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Muhyiddin berkata, sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan, Khaled sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang lebih matang, bukannya merendahkan keupayaan parti lawan.

“Ini sistem demokrasi. Khaled Nordin ahli politik yang agak lama, matang. Pernah jadi menteri dan masih jadi menteri. Tetapi cakap macam budak-budak.

“Macam kita ini sampah, tak berguna dan tak ada pengalaman. Banyak mana pengalaman Datuk Khaled berbanding pengalaman saya ataupun pengalaman parti kita?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Rapat Rakyat Bersatu Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Utama (BGU) Sikamat di sini pada Rabu.

Menurut Muhyiddin, penyertaan Bersatu dalam PRN bukan sekadar untuk mencabar mana-mana pihak, sebaliknya parti itu mempunyai sasaran jelas untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kita bukan main-main masuk pilihan raya ini, bukan nak kacau daun. Kita masuk untuk menang.

“Jadi jangan perlekehkan kemampuan kita,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memaklumkan Bersatu kini sedang memuktamadkan manifesto PRN Negeri Sembilan yang dijangka dilancarkan dalam beberapa hari lagi.

Katanya, manifesto tersebut disediakan oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Datuk Radzi Jidin dengan memberi penekanan terhadap isu-isu utama membabitkan kebajikan rakyat.

“Antara perkara yang diberi perhatian ialah ekonomi, infrastruktur, kesihatan awam, pendidikan dan beberapa lagi isu yang menjadi keutamaan rakyat Negeri Sembilan.

“Manifesto itu akan dilancarkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mengulas mengenai calon Menteri Besar sekiranya Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri, Muhyiddin berkata, perkara itu belum diputuskan kerana tumpuan ketika ini adalah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi.

“Kalau sokongan kuat dan kita memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, sudah tentu jawatan Menteri Besar perlu diisi.

“Tetapi buat sementara ini kita belum membuat sebarang keputusan lagi,” katanya.

Beliau turut mengakui sukar meramalkan pencapaian Bersatu pada PRN kali ini memandangkan ia merupakan kali pertama parti itu bertanding menggunakan nama sendiri di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, katanya, sambutan rakyat sepanjang tempoh berkempen dilihat semakin menggalakkan walaupun parti itu tidak mahu terlalu yakin.

“Saya tidak boleh meramal lagi, tetapi daripada apa yang saya lihat sambutan semakin meningkat di setiap lokasi yang saya kunjungi. Namun, kita tidak boleh terlalu yakin.

“Jentera perlu terus bekerja keras dan memastikan kempen berjalan lancar sehingga hari pengundian,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan terdapat arahan supaya penyokong Perikatan Nasional (PN) memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), Muhyiddin menegaskan beliau tidak terlibat dalam keputusan sedemikian.

“Tak ada. Saya tidak terlibat. Saya sudah sebut sebelum ini, kami ditinggalkan begitu sahaja. Siapa yang buat keputusan itu saya pun tidak tahu.

“Agak janggal kerana lazimnya apabila masuk pilihan raya, kita bertanding untuk menang, bukannya menyokong pihak lain. Tetapi itu urusan mereka dan saya tidak mahu campur tangan,” katanya.

 

Scroll to Top