Mumtaz bawa usul tergempar isu Network School di Forest City, hari ini

Mumtaz bawa usul tergempar isu Network School di Forest City, hari ini

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur : Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat hari ini berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Beliau berkata, usul tergempar itu akan dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

“Isu Forest City sering dibangkitkan di Parlimen, khususnya kerana kawasan itu digelar sebagai ‘bandar hantu.’

“Dalam isu ini, antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan platform ekonomi, pelaburan dan pendidikan untuk menembusi negara, termasuk didakwa memasuki Malaysia secara tidak sah menggunakan pasport negara kedua.

“Selain itu, timbul persoalan bagaimana sebuah projek pembangunan berskala besar seperti Forest City gagal mencapai matlamat asal sehingga banyak kawasan tidak dihuni dan aktiviti ekonomi tidak berkembang seperti dirancang.

“Keadaan itu akhirnya mendorong pelbagai inisiatif untuk menarik pelaburan dan penempatan penduduk ke kawasan berkenaan.

“Justeru, terdapat dua isu yang perlu diselesaikan serentak oleh kerajaan iaitu isu pembangunan Forest City yang berada di bawah tanggungjawab Menteri Ekonomi atau Menteri Kewangan, serta isu keselamatan dan kedaulatan negara yang berada di bawah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri beberapa Ahli Parlimen PAS termasuk Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary; dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Terdahulu, Kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan orang ramai, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilapor berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Beliau dilapor berkata, KDN, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan diminta menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya memandang serius kebimbangan yang sedang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berhubung cadangan pembinaan Network School di Forest City, Johor.

“Ketika ini, pelbagai maklumat sedang beredar di ruang awam. Oleh itu, kerajaan bertanggungjawab memberikan penjelasan yang menyeluruh, telus dan berasaskan fakta supaya sebarang kekeliruan dapat diperbetulkan serta keyakinan rakyat terhadap dasar keselamatan negara dapat dipelihara.

“Kami mengambil maklum kenyataan YAB Menteri Besar Johor bahawa kerajaan negeri akan meneliti perkara ini.

“Namun, memandangkan isu ini membabitkan aspek keselamatan negara, teknologi digital, aliran data rentas sempadan serta kepentingan strategik negara, penjelasan yang diberikan tidak boleh terhad kepada kerajaan negeri semata-mata. Kerajaan Persekutuan juga perlu tampil memberikan pendirian rasmi,” katanya.

Katanya, persoalan utama yang perlu dijawab bukan sekadar sama ada projek ini membawa pelaburan atau manfaat ekonomi, tetapi sama ada semua proses tapisan keselamatan (security vetting) sudah dilaksanakan secara menyeluruh oleh agensi-agensi berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top