MELAKA – DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan pada Selasa.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.
Menurutnya, semua wakil rakyat DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri akan melepaskan jawatan masing-masing termasuk seorang Exco, dua Timbalan Exco serta Timbalan Speaker DUN.
“Kita telah menolak usul tersebut dan sebagai parti yang bertanggungjawab, kita tidak boleh pada masa yang sama menolak usul kerajaan tetapi masih berada dalam kerajaan serta menggunakan segala kemudahan kerajaan.
“Atas prinsip demokrasi pilihan raya, kita akan keluar daripada kerajaan negeri Melaka serta-merta,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini pada Selasa.

Poay Tiong ketika mengumumkan keputusan DAP keluar kerajaan negeri selepas usul pindaan Perlembagaan negeri berhubung ADUN Lantikan diluluskan pada Selasa.
Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, DAP berpandangan ADUN sepatutnya dipilih melalui pilihan raya dan bukannya dilantik kerana individu yang dilantik mempunyai hak mengundi dalam DUN.
Katanya, sekiranya kerajaan memerlukan khidmat golongan profesional atau pakar, mereka boleh dilantik sebagai penasihat tanpa perlu diberikan kedudukan sebagai ADUN.
Tegasnya, ADUN Lantikan bercanggah dengan prinsip demokrasi kerana wakil rakyat sepatutnya dipilih oleh rakyat, bukan dilantik.
Dalam pada itu, beliau berkata, peletakan jawatan itu hanya membabitkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak melibatkan kedudukan mereka sebagai ADUN.
“Empat ADUN DAP masih kekal sebagai wakil rakyat tetapi akan melepaskan jawatan sebagai Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker.
“Mereka juga akan berpindah daripada blok kerajaan ke blok pembangkang pada persidangan DUN yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, semua lantikan politik DAP dalam kerajaan negeri termasuk ahli majlis turut akan melepaskan jawatan masing-masing dalam masa terdekat.
Menurutnya, surat peletakan jawatan telah disediakan dan akan diserahkan kepada pihak berkenaan pada hari sama.



