Murid austistik dikasari: Polis ambil keterangan 4 individu

Murid austistik dikasari: Polis ambil keterangan 4 individu

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Kejadian pembantu pengurusan murid yang dipercayai mengasari seorang murid autistik di sebuah sekolah di Kelana Jaya di sini, didakwa berlaku kerana kanak-kanak itu tantrum ketika mahu masuk ke kelas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk dirakam percakapan bersama guru besar pada 12 tengah hari tadi.

Katanya, pegawai penyiasat kes juga sudah berjumpa dengan suspek dan guru besar bersama ahli keluarga di sekolah berkenaan.

“Setakat ini kita sudah memanggil empat individu untuk diambil keterangan terdiri daripada pengadu, suspek, guru besar dan guru penolong kanan murid.

“Kejadian berlaku kerana anak pengadu tantrum (mengamuk) semasa mahu masuk ke kelas. Suspek memegang kepala meminta kanak-kanak itu membuka kasut namun dia mengamuk,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan mengalami mengalami masalah Autism Speech Delay (tidak boleh bercakap).

“Pengadu sudah membawa anaknya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan dan (hasil keputusan) mendapati tiada sebarang kecederaan dialami,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pembantu pengurusan murid disiasat polis selepas dipercayai mengasari seorang murid autistik berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya, Selangor.

Shahrulnizam dipetik berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, ibu kepada kanak-kanak berkenaan juga sudah hadir memberi keterangan kepada polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top