'Murid berjaya, saya bahagia' – Tokoh Guru Kebangsaan, Cikgu Sukimin

'Murid berjaya, saya bahagia' – Tokoh Guru Kebangsaan, Cikgu Sukimin

mdroji@bh.com.my

Kuching: Tiada yang lebih membanggakan bagi Tokoh Guru Kebangsaan 2025 selain melihat bekas anak muridnya berjaya dalam akademik seterusnya menjadi orang penting dalam bidang mereka.

Sepanjang 37 tahun perkhidmatannya dalam bidang perguruan, Sukimin Juki, 64, berkata terlalu ramai anak didiknya yang berjaya dalam hidup.

Menurutnya, kejayaan anak murid itu satu kepuasan baginya kerana berjaya menunaikan amanah yang diberi untuk mendidik anak bangsa.

“Ramai sangat anak murid saya yang sudah berjaya dan terbaru hari ini, saya disapa oleh seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang turut hadir pada sambutan Hari Guru.

“Dia memperkenalkan diri sebagai murid saya ketika mengajar di Putrajaya pada tahun 2000 dan saya amat berbangga dengan pencapaiannya kini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sukimin yang bersara dari profesion perguruan sejak empat tahun lalu menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2025 daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi anugerah berkenaan, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pinggiran Putra, Selangor menerima wang tunai RM50,000 dan pingat emas.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Selain kejayaan anak muridnya, Sukimin berkata, kejayaan menyelesaikan sesuatu masalah di sekolah turut memberi kepuasan sepanjang perkhidmatannya.

“Dalam kerjaya dan kehidupan seharian kita memang tidak boleh lari dari masalah, tetapi di sekolah agak berlainan kerana ia turut membabitkan keseluruhan yang ada di dalamnya.

“Saya pernah berkhidmat sebagai guru besar di enam sekolah dan sepanjang 37 tahun perkhidmatan memang banyak masalah dihadapi.

“Namun saya perlu mengambil pendekatan secara kreatif menyelesaikan tanpa menjejaskan hubungan antara warga sekolah,” katanya.

Bapa kepada enam cahaya mata itu lahir di Masai, Johor Bahru pada 5 Disember 1961 berkelulusan Diploma Sains dengan Pendidikan dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi Sukan dari University of New South Wales, Australia.

Sementara itu, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2025 pula dianugerahkan kepada bekas Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin.

Tokoh yang dilahirkan pada 25 Mei 1963 di Kampung Perancangan, Ranau, Sabah itu memulakan kerjayanya dalam bidang pendidikan dengan menjadi seorang guru.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat dan diberikan pelbagai jawatan penting di Kementerian Pendidikan antaranya Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru di Kementerian Pendidikan.

Ketika menjawat jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, beliau memainkan peranan penting dalam memperkenal dan menguruskan program pendidikan yang memberi manfaat kepada murid di negeri itu, dengan kepelbagaian etnik dan geografi yang luas menghadapi cabaran tersendiri dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada semua golongan.

Beliau berusaha memastikan setiap murid dengan kepelbagaian etnik dan geografi yang luas itu tanpa mengira latar belakang mendapat peluang yang sama rata untuk mengecapi kejayaan dalam bidang akademik.

“Saya berpegang kepada prinsip pendidikan adalah kunci utama untuk membuka peluang dalam hidup dan membawa perubahan kepada masyarakat.

“Saya percaya setiap individu mempunyai potensi yang besar dan dengan pendidikan yang betul, potensi itu dapat digilap dan dibawa ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top