mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia (MCM) membuka pusat pengumpulan bagi sumbangan barangan keperluan asas sejak minggu lalu untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas dalam banjir di seluruh negara.
Setiausaha Agungnya Ahmad Safuan Ujar berkata, pihaknya juga memulakan kempen kutipan sumbangan dengan sasaran RM500,000 bagi misi bantuan banjir di negeri-negeri terbabit.
“Kita sudah mulakan kempen ini dengan menyenaraikan barangan diperlukan seperti lampin pakai buang bayi, susu, pek makanan kering dan kit kebersihan.
“Orang ramai diberi pilihan sama ada menyumbang wang atau menghantar barangan diperlukan ke pusat pengumpulan di ibu pejabat kami di Kampung Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.
“Setakat ini, sambutan menggalakkan dengan kebanyakan barangan dihantar ialah barangan makanan, beras, minyak, gula, lampin pakai buang dan susu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, barangan itu akan diagihkan secara berperingkat apabila semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas air surut kelak.
“Kalau ikutkan kebiasaan, kita jangkakan gelombang banjir ini akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu, jadi kempen ini akan berterusan.
“Bukan hanya Kelantan, malah kita juga akan turun membantu mangsa banjir di Kedah selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Safuan berkata, MCM juga menyedia dan memasak 1,500 pek makanan panas sehari menerusi Projek Dapur Rakyat untuk diagihkan kepada 500 mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan dan meningkat kepada 2,000 orang pada hujung minggu.
Bagi misi ke Rantau Panjang, katanya MCM memfokuskan menyantuni mangsa yang mendapatkan perlindungan di rumah ibadat serta rumah persendirian.
“Sebahagian penduduk ini terpaksa menumpang di tempat ini berikutan ada PPS sudah maksimum kapasitinya selain ada penduduk dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.
“Mereka ini menjadi tumpuan kami dalam menyediakan masakan panas, selain kita juga menghulurkan bantuan barangan keperluan asas dan mentah untuk penduduk yang ingin masak sendiri selain kit kebersihan,” katanya.
Katanya, mereka juga membuat sistem penggiliran dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi memasak makanan panas untuk mangsa banjir secara mingguan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




