Mutasi varian Nigeria tidak jejas kemampuan untuk kesan individu dijangkiti

Kuala Lumpur: Varian Nigeria B1.525 daripada Covid-19 mempunyai mutasi penting dalam spike protein, tetapi ia tidak menjejaskan keupayaan untuk mengesan atau menjejaki seseorang yang dijangkiti varian itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana kit tindak balas Polymerase Chain Reaction (PCR) yang sedia ada menggunakan pelbagai sasaran untuk mengesan varian walaupun seseorang itu tidak bergejala.

“Pada masa ini, tidak ada data yang menunjukkan bahawa varian ini lebih virulensia atau menyebabkan peningkatan kematian,” katanya mengulas pertanyaan media semalam, berhubung Varian Nigeria B1.525.

Berdasarkan laporan kajian makmal, Dr Noor Hisham berkata, mutasi E484K yang juga dilihat pada varian lain, termasuk Afrika Selatan (B.1.351) dan Brazil (P.1), sudah dikaitkan dengan beberapa tahap ketahanan untuk meneutralkan antibodi yang diperlukan bagi memberi perlindungan.

Katanya, ketahanan itu bermakna ada kemungkinan penurunan dalam keberkesanan imuniti semula jadi atau imuniti yang berasal daripada vaksin terhadap mutasi ini.

“Mutasi D614G menyebabkan peningkatan penularan kerana keadaan yang menggalakkan untuk virus menjangkiti sel yang dibenarkan dan menduplikasi.

“Mutasi lain yang disebut Q677H juga berkaitan dengan kemungkinan peningkatan penularan disebabkan penggabungan virus yang efisien terhadap reseptor sel manusia,” katanya.

Merujuk kepada dua kes pertama varian Nigeria di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan pasangan suami isteri warganegara India, masing-masing berusia 36 dan 33 tahun yang datang ke Malaysia bersama anak lelaki berusia enam tahun.

Beliau berkata, suami berkenaan bekerja dalam bidang kewangan profesional sejak dua tahun yang lalu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mereka datang ke negara ini kerana si suami mendapat tawaran pekerjaan.

“Lelaki itu pada awalnya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, tetapi dipindahkan ke pusat perubatan swasta sehari kemudian atas permintaannya. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 9 Feb lalu.

“Oleh kerana isterinya di awal kehamilan, wanita itu bersama anak mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 15 Feb lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kedua-dua pelawat itu tiba di Malaysia pada 31 Januari dan Kementerian Kesihatan sudah menjalankan ujian swab Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), disebabkan mereka tidak menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas.

Mereka kemudian dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan dan kekal tidak bergejala, namun makmal mengesahkan hasil ujian RT-PCR mereka positif COVID-19 pada 2 Februari.

Katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudiannya melakukan penjujukan genom penuh kerana sejarah perjalanan mereka dan IMR menyelesaikan analisis penjujukan genom pada 4 Mac, yang menunjukkan kedua-dua kes itu mempunyai Varian Nigeria SARS-CoV-2 (B1.525).