am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan siasatan terhadap pemandu dan syarikat pengendali bas yang terbabit nahas sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, 9 Jun lalu.
Ia termasuk kemungkinan membatalkan permit operasi.
Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramly, berkata pemandu bas terbabit kini masih berdepan proses perundangan di mahkamah.
Menurutnya, beberapa aspek di bawah bidang kuasa JPJ sedang diteliti bagi memastikan semua pihak yang cuai sehingga menyebabkan berlakunya tragedi itu dikenakan tindakan sewajarnya.
“Antara tindakan termasuk pembatalan permit syarikat, bergantung kepada laporan awal pasukan petugas khas Kementerian Pengangkutan (MoT) yang dikeluarkan Jumaat lalu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Terengganu, di sini.
Pada program itu seramai 968 peserta di seluruh negeri ini berjaya menamatkan latihan dan ujian lesen memandu melalui Program MyLesen B2.
Aedy Fadly berkata, laporan awal MoT turut merumuskan beberapa isu membabitkan sistem keselamatan jalan raya secara menyeluruh yang membabitkan pelbagai agensi berkaitan.
Hasil analisis kinematik juga mendapati bas dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian, sedangkan had laju ditetapkan hanya 60 km/j.
Lebih mengejutkan, siasatan mendapati kedua-dua pemandu memiliki rekod kesalahan trafik yang tinggi dengan 18 saman tertunggak bagi pemandu pertama dan lebih 20 saman gabungan bagi pemandu kedua.
Dalam perkembangan lain, JPJ mengeluarkan 792 notis terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres dan persiaran serta kenderaan barangan yang gagal memakai tali pinggang keledar di seluruh negara sejak dikuatkuasakan bermula 1 hingga 10 Julai lalu.
Katanya, sebanyak 142 notis dikeluarkan terhadap pemandu bas membabitkan bas ekspres sebanyak 27 notis, pesiaran (13) dan kenderaan barangan 102.
“Manakala bagi penumpang pula sebanyak 640 notis membabitkan bas ekspres (545 notis, pesiaran (85) dan 10 notis terhadap kelindan kenderaan barangan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 5,923 pemeriksaan kenderaan telah dilaksanakan dalam tempoh sama sebagai langkah mempertingkat penguatkuasaan terhadap pemakaian tali pinggang keledar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




