'Nakhoda' harus miliki jiwa berakhlak murni

'Nakhoda' harus miliki jiwa berakhlak murni

Islam memandang institusi kekeluargaan sebagai wadah dalam membina sebuah kehidupan yang sejahtera. Ia bukan sekadar keperluan biologi, tetapi menjurus kepada terbentuknya sebuah kehidupan berteraskan kepada rasa kebertanggungjawaban.

Justeru, seorang suami mempunyai peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Bukan hanya setakat menyediakan keperluan berbentuk fizikal seperti rumah yang selesa, perkakasan yang menarik ataupun memenuhi keperluan makan minum yang mencukupi. Aspek ini hanya sebahagian daripada elemen tanggungjawab suami. Ini kerana masih banyak lagi yang perlu diteliti dan diambil berat oleh seseorang suami terhadap isteri dan anak.

Dalam membentuk rumah tangga kondusif, seseorang suami perlu memainkan peranan sebagai seorang nakhoda yang bercirikan penampilan sifat kepemimpinan yang terbaik. Kita boleh ikuti beberapa pesanan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita sebagai seorang suami dalam usaha mencorak dan mewarnakan suasana rumah tangga aman dan bahagia.

Pertama, seseorang suami seharusnya mempunyai jiwa berakhlak yang murni. Ia amat penting kerana tanpa akhlak yang baik pelbagai risiko yang menggoncangkan rumah tangga boleh tercetus. Sebab itu Rasulullah SAW mengingatkan kita sebagai seorang suami sebagaimana pesan Baginda: “Ingatlah lelaki beriman (Mukmin), yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi pekertinya. Dan lelaki beriman yang paling baik budi pekertinya adalah yang paling baik perilakunya terhadap isterinya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Jadi, meneliti kepada pesanan Baginda ini, jelas bahawa seorang suami yang berakhlak baik terhadap isterinya diiktiraf sebagai seorang Mukmin beriman yang paling baik. Pesanan Rasulullah SAW itu seharusnya menjadi satu motivasi pendorong kita untuk sentiasa mengendalikan diri supaya tidak mempamerkan sikap buruk dan penuh kekeruhan ketika saling berkomunikasi dengan isteri. Kerukunan rumah tangga adalah sesuatu yang mustahil terbina atas landasan akhlak buruk apatah lagi jika suami yang bersikap demikian.

Kedua, Baginda juga ada berpesan supaya kita menjaga dan memelihara hak yang telah digariskan oleh agama. Kata Baginda: “Bertakwalah kepada Allah dalam perihal wanita. Kerana sesungguhnya kalian mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan atas kalian kemaluan mereka dengan kalimat Allah. Maka hak mereka atas kalian adalah memberikan nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Baginda yang kedua seakan-akan nampak begitu mudah untuk ditunaikan, namun seandainya kita renungi dengan mendalam mengertilah kita bahawa perkara memberi nafkah itu sewajibnya menerusi sumber yang sah dan halal di sisi syarak. Justeru, untuk mendapat keredaan Allah dan keberkatan dalam rumah tangga, seorang suami perlu berusaha gigih mencari sumber ekonominya yang halal lagi suci supaya kesucian rumah tangga sentiasa terpelihara daripada unsur yang dikeji oleh Allah SWT.

Sanggupkah kita sebagai suami menyara makan minum anak isteri kita dengan sesuatu yang berpunca daripada sumber tidak halal? Sudah pasti kepada yang tebal imannya tidak tergamak berbuat demikian kerana mereka menghayati apa yang pernah diberikan amaran keras oleh Rasulullah SAW. Kata Baginda: “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber pendapatan haram, neraka adalah lebih utama untuknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Baginda Rasulullah SAW pernah juga berpesan supaya tidak bertindak secara melampau batas ketika timbulnya sesuatu pergolakan dalam rumah tangga. Kata Baginda: “Janganlah seorang suami Mukmin memarahi isterinya ataupun seorang wanita beriman. Jika tidak suka terhadap salah satu sifatnya, maka pasti ada sifat lain yang menyenangkan. Dunia ini adalah suatu kesenangan yang sementara dan sebaik-baik kesenangan di dunia adalah wanita yang solehah.” (Hadis riwayat Muslim)

Ini juga satu lagi petua berguna sebenarnya yang seharusnya kita gunapakai dalam melayari alam berumahtangga. Betapa banyak kes krisis rumah tangga yang sehingga berlakunya perceraian lantaran suami tidak mampu bertindak secara wajar dan bijaksana. Sebaliknya banyak dikongkong oleh gejolak nafsu yang membuak-buak sehingga api kemarahan sukar dikawal, lantas merebak membawa pertelingkahan besar.

Suami yang unggul akan berusaha berfikir sedalam-dalamnya sebelum melakukan sesuatu tindakan. Segala baik buruk diperhitung satu persatu. Ini kerana dia sedar bahawa jika dibiarkan dirinya dibelenggu oleh nafsu emosi amarah tidak akan membawa sebarang kebaikan, malah sebaliknya boleh menjerumuskan ke kancah krisis yang lebih trajis dan memalukan.

Seorang suami yang hebat dan menepati piawai yang dimahukan oleh Rasulullah SAW adalah seorang yang kental daya sabarnya. Dia tidak mudah beremosi dan melepaskan hawa nafsu secara membuta tuli. Standard terbaik seorang suami sebagaimana kata Rasulullah SAW ialah sebagaimana sabda Baginda: “Barang siapa di antara para suami yang bersabar atas perilaku buruk isterinya, maka Allah akan memberikannya pahala seperti yang Allah berikan kepada Ayub AS atas kesabarannya menanggung penderitaan.” (Hadis riwayat an-Nasai’)

Lihatlah betapa tingginya nilai yang diberikan penghargaan oleh Allah SWT kepada seseorang suami yang berjaya memiliki tahap kualiti sabar yang unggul.

Melayari bahtera rumah tangga menyusuri alur kehidupan di dunia ini sudah pasti bukan perkara mudah dan boleh dipandang remeh sahaja. Ini kerana silap perkiraan dan pertimbangan boleh membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Justeru, ikutilah dengan sejujur-jujurnya segala petua yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana diutarakan sebagai jalan ikhtiar kita memperkasakan hubungan suami dan isteri. Insya-Allah dengan mengikuti setiap sunah dan peringatan Rasulullah SAW itu akan menatijahkan kita dengan buah manis keharmonian dan kedamaian lagi diberkati Allah.

Jadikanlah rumah tangga kita dan hubungan dengan isteri kita sebagai landasan menuju keredaan Allah, sekali gus menjana ‘syurga dunia’ yang membahagiakan dan bukannya seperti ‘neraka’ yang penuh dengan mala petaka. Sentiasa memperagakan diri sebagai seorang suami yang penuh bertanggungjawab dengan menggalas amanah Allah dengan sedaya termampu.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top