Nathan sempurnakan misi jalan kaki solo 313km kurang sebulan

Nathan sempurnakan misi jalan kaki solo 313km kurang sebulan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Johor Bahru: Misi berjalan kaki solo jurugambar, Nathanael Lau atau mesra disapa Nathan selesai apabila pemuda itu selamat tiba di bandar raya ini kira-kira 11 pagi tadi.

Nathan berkata, dia gembira kerana dapat menyempurnakan misi berkenaan dengan selamat dan dalam tempoh kurang sebulan saja.

Menurutnya, misi itu memberi banyak pengalaman berharga buatnya dan kesempatan bertemu masyarakat pelbagai latar belakang di sepanjang perjalanan.

“Akhirnya saya sampai juga di destinasi dituju hari ini. Terima kasih semua yang beri sokongan kepada saya untuk meneruskan misi hingga sampai ke penghujungnya.

“Selepas ini, saya akan berjumpa dengan rakan di Singapura untuk beberapa hari sebelum dibawa pulang keluarga ke rumah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi perancangan akan datang, Nathan berkata, misi seterusnya adalah mendaki Gunung Mirbobo dan Gunung Sindoro di Indonesia.

“Mengikut perancangan, saya akan menjalankan misi pendakian itu pada bulan depan.

“Harap misi itu juga berjalan baik dan saya perlu kuat lagi bekerja serta kumpul duit untuk jalankan misi yang lain,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Nathan yang menjalankan misi berjalan kaki solo sejauh kira-kira 313 kilometer (km) ke bandar raya ini dengan bergerak dari sebuah pasar raya di Semenyih, Selangor.

Misi itu bermula 1 Ogos lalu dan mendapat perhatian selepas Nathan memuat naik video di TikTok bagi menceritakan rutin harian dan pengalaman ketika menjalankan misi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top