norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Vokalis juga pemain gitar utama The Times, Natazar Mohamad atau Naza, 51, terkilan tidak menunaikan permintaan rakannya, Allahyarham Nazreen yang meminta dikirimkan ‘t-shirt’ lama serta album baharu kumpulan itu.
Naza berkata, Allahyarham Nazreen atau Aein ada menghubunginya kira-kira sebulan lalu dan ia mengejutkan kerana mereka sudah tidak berhubung sangat lama selepas arwah mengundur diri daripada The Times pada 2007.
“Kali terakhir Allahyarham Aein ada ‘contact’ saya, sebulan lepas dan memang paling mengejutkan sebab sudah lama dia tidak hubungi saya. Jadi, tiba-tiba dapat telefon daripadanya.
“Dia macam rindu dekat saya, dan masa ‘call’ itu pun arwah hanya nak tanya khabar The Times? Kata arwah, dia juga rindu sangat nak main balik dengan kami.
“Saya tanya, kenapa dia tidak jumpa masa raya (Aidilfitri) itu, mungkin sibuk. Cuma dia (arwah) minta kepada saya album baharu The Times dan minta hantarkan ‘t-shirt’ lama kami yang ada gambarnya.
“Memang saya nak hantar dekat Allahyarham yang kini menetap di Kuching, Sarawak. Cuma, saya lupa nak minta adik hantarkan kepadanya dan agak terkilan juga,” katanya kepada Harian Metro ditemui pada sidang media Konsert Disko Dansa Generasiku OAG & The Times di Odeon KL.
Berbicara mengenai insiden kemalangan jalan raya yang menimpa bekas pemain gitar dan keyboard The Times itu, Naza berkata dia mohon kepada sesiapa yang mempunyai video ‘dash cam’ kemalangan dapat memberi kerjasama dengan pihak polis.
“Saya difahamkan Allahyarham kemalangan akibat motosikal dinaikinya dilanggar lari di Miri dan hingga kini masih belum ditemui siapa yang melanggar. Jadi, saya harap sangat bantuan sesiapa yang ada rakaman video.
“Semoga ‘pemergian’ Allahyarham dapat pembelaan. Dia (arwah) pun baharu berkahwin kira-kira beberapa tahun lepas dan memiliki seorang anak. Justeru, saya harap sangat bantuan ramai,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Nazreen menganggotai The Times pada tahun 2004 sehingga 2007 dan dalam tempoh itu arwah pernah terbabit menghasilkan tiga album.
Konsert Disko Dansa Generasiku OAG & The Times akan berlangsung di Odeon KL pada 10 Oktober depan dan setakat ini sebanyak 50 peratus tiket sudah dijual dan harga RM139 sahaja yang tinggal.
Kira-kira 30 lagu akan dipersembahkan oleh OAG dan The Times pada konsert berkenaan yang dijangka berlangsung selama dua jam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
