Penyelidik temukan 14 fosil gigi jerung di bawah padang pasir

KAHERAH: Pasukan saintis berjaya merungkai kewujudan sebuah ‘dunia terpencil’ yang tertimbus di bawah tanah gurun Mesir sejak lebih 70 juta tahun lalu, sekali gus mengubah pemahaman mengenai sejarah alam sekitar purba wilayah berkenaan.

Sekumpulan penyelidik me­nemukan 14 fosil gigi milik lima spesies ikan jerung yang telah pupus. Ia termasuk satu spesies yang diyakini belum pernah ditemui di benua Afrika sebelum ini. 

Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang dikenalpasti di kawasan tersebut meningkat kepada sekurang-kurangnya tujuh spesies jerung.

Penemuan ini membuktikan bahawa kawasan yang kini merupakan antara kawasan pa­ling tandus dan kering di bumi suatu ketika dahulu merupakan sebuah lautan tropika bersuhu suam serta kaya dengan hidupan marin.

Fosil berkenaan ditemukan di Dataran Tinggi Abu-Tartur, sebuah kawasan terpencil di Gurun Barat yang terkenal dengan rizab deposit fosfat yang besar, terletak kira-kira 640 kilometer ke barat daya Kaherah.

Bentuk fosil gigi yang ditemukan menunjukkan kepelbagaian yang ketara daripada tajam menyerupai jarum, lebar dan bersengat, sehingga kepada bentuk melengkung. 

Kepelbagaian bentuk ini memberi petunjuk bahawa spe­sies jerung terbabit memburu mangsa yang berbeza dan menduduki rantaian makanan yang berantai dalam ekosistem laut purba.

Menerusi kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cretaceous Research, penemuan fosil ikan kecil, hidupan invertebrata dan reptilia laut pemangsa membuktikan kewujudan ekosistem lautan yang sangat produktif pada zaman Late Cretaceous.

Arus lautan yang kuat pada era tersebut dipercayai membawa air kaya nutrisi ke permukaan, sekali gus membolehkan plankton dan organisma kecil membiak dengan pesat. – AGENSI     

 

Scroll to Top