hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki patah kaki kiri dan pergelangan tangan kanan selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipercayai membuat pusingan U dalam kejadian di Jalan Kampung Pandan berhampiran persimpangan Jalan Wira 8, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada 11 malam itu, penunggang motosikal berusia 20 tahun itu, manakala kereta dipandu lelaki berusia 18 tahun bersama penumpang lelaki berusia 25 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal sedang bergerak dari Jalan Ampang Hilir menghala ke Bulatan Kampung Pandan.
Menurutnya, ketika kejadian sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan dipercayai membuat pusingan U sebelum melanggar bahagian tepi kanan motosikal berkenaan.
“Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di atas jalan dan patah kaki kiri serta pergelangan tangan kanan. Mangsa telah dibawa ke sebuah hospital swasta Gleneagles untuk rawatan lanjut dan ditahan di wad hospital.
“Bagaimanapun, pemandu serta penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu kereta membuat pusingan U berdasarkan panduan aplikasi navigasi kerana tidak biasa dengan laluan berkenaan.
“Ujian pernafasan yang dijalankan terhadap pemandu mendapati bacaan alkohol adalah negatif. Rakaman saksi di tempat kejadian juga mengesahkan pemandu kereta tidak memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Katanya, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, video memaparkan kemalangan sebuah motosikal dan kereta didakwa membabitkan kes mabuk dan membuat pusingan U di lokasi tidak dibenarkan dipercayai berlaku di Jalan Kampung Pandan, tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd
