Nazmizan anggap pertambahan acara olahraga tak beri kelebihan

Nazmizan anggap pertambahan acara olahraga tak beri kelebihan

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad menganggap pertambahan acara dalam sukan olahraga pada temasya Sukan Sea Thailand, tahun depan tidak memberi kelebihan buat kontinjen negara.

Ia kerana, Malaysia masih lagi bergantung harap kepada atlet yang sama seperti pada temasya Sukan Sea terdahulu iaitu di Kemboja.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa, mungkin tiada kejutan boleh dilakukan oleh muka baharu.

Namun, beliau tidak menolak mungkin berlaku pertambahan pingat sekiranya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bijak membuat percaturan dari sekarang.

“Pertambahan acara tidak memberi sebarang kesan kepada pungutan pingat skuad olahraga negara.

“Kita masih mengharapkan muka lama seperti menerusi Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Umar Osman dan Shereen Samson Vallabouy (400m), Jackie Wong, Grece Wong (baling tukul besi serta Andre Anura (lompat kijang).

“Jika KOM bijak atur strategi mungkin kita boleh dapat pingat lebih. Contohnya, Umar turut berlari dalam acara 800m selain 400m.

“Sebabnya saya lihat catatan masa Umar dalam acara itu tidak jauh dengan pemenang pingat emas sebelum ini.

“Tapi sekarang semuanya terpulang kepada atlet itu sendiri iaitu di mana mereka ingin meletakkan diri mereka di Sukan Sea nanti,” katanya.

Semalam, tuan rumah Thailand mengumumkan pertambahan acara iaitu sebanyak 585 dan menjadi edisi paling banyak menawarkan pingat emas dalam penganjuran temasya dwi tahunan itu.

Turut terbabit dalam pertambahan acara itu adalah olahraga membabitkan persaingan dalam acara 20 kilometer (km) jalan kaki lelaki wanita dan acara 3,000m lari berhalangan lelaki dan wanita, menjadikan jumlah pingat emas dalam olahraga sebanyak 47.

Terdahulu di temasya Sukan Sea Kemboja, skuad olahraga negara membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top