Neeraj Chopra lantik Zelezny sebagai jurulatih

Neeraj Chopra lantik Zelezny sebagai jurulatih

New Delhi: Pemenang pingat Olimpik dua kali India, Neeraj Chopra, melantik legenda Republik Czech, Jan Zelezny, sebagai jurulatih.

Neeraj, yang meraih emas di Olimpik Tokyo 2021 dan pingat perak di Sukan Paris tahun ini, sebelum ini dilatih oleh jurulatih Jerman, Klaus Bartonietz, yang telah bersara minggu ini.

“Semasa membesar, saya mengagumi teknik dan ketepatan Jan dan banyak menghabiskan masa menonton video beliau,” kata Neeraj dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sports Authority of India.

“Dia adalah yang terbaik dalam sukan ini selama bertahun-tahun, dan saya percaya bekerja dengannya akan sangat berharga kerana gaya lontaran kami serupa dan pengetahuannya tiada tandingan.

“Satu penghormatan untuk mempunyai Jan di sisi saya semasa saya berusaha mencapai tahap seterusnya dalam karier saya, dan saya tidak sabar untuk memulakannya.”

Zelezny memenangi pingat emas di Olimpik 1992, 1996 dan 2000, serta perak pada 1998.

Atlet berusia 58 tahun itu juga memegang rekod dunia merejam lembing lelaki dengan jarak 98.48 meter, yang dicatatkan pada 1996.

“Saya suka ceritanya dan saya melihat potensi besar, kerana dia masih muda dan berupaya untuk meningkatkan prestasi,” kata Zelezny dalam kenyataan berkenaan.

“Kami sedang mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat dan akan mula bekerja bersama secara peribadi di kem musim sejuk tradisional di Afrika Selatan.

“Saya percaya dalam kemajuannya, terutamanya dalam aspek teknikal, agar dia dapat terus mencapai kedudukan tertinggi di kejohanan utama.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top