bhnews@bh.com.my
ALOR SETAR: Pandemik COVID-19 yang melanda negara, mendorong seorang pemuda untuk menerima tawaran pekerjaan sebagai penggali kubur bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Mohd Muzammil Yaakob, 21, nekad dengan keputusan itu demi membantu mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit COVID-19 yang semakin meningkat.
Beliau yang berasal dari Jalan Langgar, di sini, berkata pekerjaan itu telah menjadikan dirinya lebih menghargai kehidupan dan sentiasa bersyukur dengan rezeki diperoleh.
“Sebelum ini, saya menternak kambing bagi menampung hidup tetapi ia hanya cukup-cukup makan saja.
“Oktober lalu, saya mendapat tawaran menjadi penggali kubur bawah KKM untuk membantu mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit COVID-19.
“Pada mulanya, saya berfikir panjang kerana risiko yang terpaksa ditanggung. Namun sebagai orang Islam, saya percaya asbab kematian boleh berlaku di mana saja. Justeru, saya menerima tawaran itu,” katanya ketika ditemui.
Mohd Muzammil kemudian mengajak Fazli Othman, 26, bekerjasama melakukan tugasan berkenaan kerana rakannya itu memiliki jentera jengkaut.
Beliau berkata, mereka bekerja tanpa mengira siang atau malam bagi membantu proses mengorek dan menimbus liang lahad mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kami perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai mematuhi SOP pengebumian pesakit COVID-19. Memang terasa sangat panas sehingga adakala kepala pening,” katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.
Turut bersimpati dengan nasib keluarga pesakit COVID-19, Muzammil berkata, adakala beliau membantu mengambil gambar atau video untuk tatapan waris yang tidak dapat menyaksikan proses pengebumian.
“Selepas semua kerja selesai, kami bersama jentera akan disembur cecair pembasmi kuman, manakala PPE pula dimasukkan ke dalam plastik khas untuk dilupuskan petugas KKM.
“Apabila pulang, kami akan mandi di luar rumah terlebih dulu sebelum masuk bagi mengelakkan risiko pada ahli keluarga.
“Alhamdulillah setakat ini, kami berdua masih terpelihara daripada jangkitan COVID-19,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




