Nelayan resah, tangkapan di Sungai Segamat merosot

Nelayan resah, tangkapan di Sungai Segamat merosot

am@hmetro.com.my

Segamat: Lebih 60 nelayan di Sungai Segamat dan Sungai Chodan, di sini, resah apabila hasil tangkapan ikan semakin kurang akibat musim kemarau sejak Jun lalu.

Tinjauan di Sungai Segamat mendapati kebanyakan jaring dan pukat tidak memberi hasil menggalakkan dan hanya beberapa ikan sahaja tersangkut selepas dipasang lebih sembilan jam.

Keadaan itu memaksa nelayan meneroka beberapa kawasan di hilir sungai walaupun perlu menanggung risiko bot dan jaring rosak akibat tersangkut pada tunggul kayu dan beting pasir.

Nelayan, Mohamad Yahya, 50, berkata pendapatannya merosot sejak kebelakangan ini ditambah pula dengan keadaan beting pasir yang semakin banyak kelihatan akibat paras air sungai semakin susut.

Menurutnya, dia hanya mampu mendaratkan kira-kira empat kilogram (kg) ikan berbanding sebelum ini lebih 20 kg setiap kali keluar menangkap sekitar Sungai Segamat dan Sungai Chodan.

“Dengan usia semakin lanjut, saya tak mampu hendak pergi ke kawasan lebih jauh dan dalam, pukat mudah tersangkut serta rosak.

“Saya menjadi nelayan sejak 1980-an, kami memang tiada sumber pendapatan lain, jadi terpaksa ambil upah membaiki jaring dan lukah buat sementara ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Segamat, Mansor Ibrahim, 72, berkata beting pasir semakin banyak kelihatan menyebabkan ramai nelayan terpaksa mengubah haluan bot ke lubuk lain yang lebih jauh.

“Ini berikutan jumlah pendaratan ikan di kawasan berkenaan semakin berkurangan sejak beberapa bulan lalu dan menurun apabila musim kemarau berpanjangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top