Palm Beach Gardens, Amerika Syarikat: England memulakan persiapan mereka menjelang Piala Dunia 2026 di Florida semalam dengan mengadakan sesi latihan ringan pertama dalam cuaca panas dan lembap selepas tiba di Amerika Syarikat (AS).
Skuad kendalian Thomas Tuchel yang dianggap antara calon utama untuk menjuarai Piala Dunia, menjadikan Palm Beach, Florida sebagai kem latihan sementara menjelang perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada Sabtu dan Costa Rica minggu depan sebelum berpindah ke kem latihan rasmi mereka di Kansas City pada 13 Jun.
England yang akan membuka kempen Kumpulan L Piala Dunia menentang Croatia di Dallas pada 17 Jun, sudah merasai keadaan cuaca panas terik dan kelembapan tinggi yang mungkin mereka hadapi sepanjang kejohanan. Mereka dijadualkan bertemu Ghana di Boston pada 23 Jun sebelum menentang Panama di New Jersey pada 27 Jun.
Dengan suhu mencecah 32 darjah Celsius di kawasan teduh semalam, pemain England menjalani beberapa latihan hantaran dan gelecek sebelum mengadakan perlawanan kecil sesama sendiri.
“Saya sudah biasa dengan cuaca jauh lebih teruk daripada ini, hujan dan bukan suhu seperti ini,” kata penyerang Ollie Watkins kepada wartawan.
“Tetapi seronok berada di sini untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang bakal kami hadapi di Piala Dunia,” tambah penyerang berusia 30 tahun dari Aston Villa itu.
Watkins sebahagian daripada skuad England yang muncul naib juara kepada Sepanyol pada Euro 2024 di Jerman, salah satu daripada beberapa kegagalan tipis England dalam kejohanan utama kebelakangan ini.
“Kami adalah negara bola sepak yang besar dan belum mencapai kejayaan kami inginkan dalam kejohanan seperti ini sebelum ini, jadi sasaran kami jelas untuk memenangi Piala Dunia,” kata Watkins.
Pemain tengah Kobbie Mainoo, yang berjaya kembali ke skuad England hasil peningkatan prestasi bersama Manchester United pada separuh kedua musim ini, berkata pasukan itu tidak mahu terlalu memikirkan pusingan seterusnya.
“Apabila anda melihat terlalu jauh ke hadapan dalam Piala Dunia, ia boleh terasa agak menakutkan. Jadi kami fokus kepada apa yang ada sekarang,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Pemain tengah veteran Jordan Henderson, 35, yang penyertaannya dalam skuad pilihan Tuchel mencetuskan perdebatan selepas beberapa nama besar diketepikan, turut menyuarakan pandangan yang sama.
“Anda perlu fokus kepada perkara penting, dan apa yang penting sekarang ialah perlawanan seterusnya, dua perlawanan sebelum kem latihan rasmi,” kata Henderson.
“Penting untuk membina tahap kecergasan dan rentak permainan supaya kami tiba di Piala Dunia dalam keadaan terbaik untuk menghadapi Croatia kerana mereka pasukan sangat kuat.”
Henderson yang membuat penampilan pertama daripada 89 kaps bersama England pada 2010, dilihat seperti sudah tersisih daripada skuad kebangsaan selepas tidak dipilih ke Euro 2024.
“Dua atau tiga tahun kebelakangan ini memang penuh dengan turun naik,” akui Henderson.
“Tetapi saya bekerja keras untuk berada dalam kedudukan ini dan saya sangat bersyukur serta berbesar hati kerana masih berada di sini dan menjadi sebahagian daripada pasukan ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




