NESTLE Malaysia Bhd bertindak memperkukuh daya tahan rantaian bekalan halalnya sejajar dengan strategi pempelbagaian sumber dan ekosistem yang berkembang pesat bagi memastikan pematuhan serta operasi yang konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, ketidaktentuan rantaian tidak menjejaskan keupayaan syarikat berkenaan dalam mengekalkan piawaian halalnya memandangkan persiapan itu telah dibuat sejak beberapa tahun lepas.
“Antara persiapan itu adalah mempunyai sumber bekalan alternatif bagi memastikan kami ada pilihan lain sekiranya berlaku sebarang gangguan,” katanya selepas majlis pelancaran Synergy (Strengthening Your Network and Ecosystem For Resilient Growth) Halal Nestle Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di ibu negara pada Selasa.
Menjelaskan selanjutnya, Aranols berkata, pendekatan rantaian bekalan halal syarikat itu jelas kukuh dalam operasi yang diwujudkan berdasarkan pengalaman selama berpuluh-puluh tahun selain jalinan kerjasama erat dengan pihak pengawal selia.
Beliau juga menyifatkan aspek pematuhan halal bukan diukur dari segi keuntungan, sebaliknya menjadi elemen teras dalam membina kepercayaan dan kredibiliti dalam kalangan pengguna.
“Ini asas untuk membina kepercayaan dan kredibiliti Nestle di negara seperti Malaysia yang mana pematuhan halal ini amat penting.
“Aspek ini berkaitan dengan kepercayaan terhadap jenama serta keyakinan rakyat Malaysia bahawa produk kami adalah 100 peratus halal selain dihasilkan di Malaysia dan oleh rakyatnya,” katanya.
Sementara itu Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Muhyidin Aziz @ Saari berkata, pembangunan ekosistem halal yang kukuh dan dipercayai, memerlukan usaha sama berterusan anara pihak pengawal selia, pemain industri dan komuniti lebih luas.
“Inisiatif yang dipaparkan oleh Nestle Malaysia mencerminkan bagaimana industri boleh memainkan peranan bermakna untuk mengukuhkan piawaian halal dan membina keupayaan. Ini menyokong usaha negara dan menggandakan kesan positif, lantas menyokong kedudukan Malaysia sebagai hab halal global,” katanya.
Dalam pada itu, Nestle menerusi kenyataannya memaklumkan bahawa kerjasama itu adalah sebahagian daripada strategi meluasnya untuk memperkukuh ekosistem halal negara melalui pembangunan industri, pendidikan serta pembinaan keupayaan rantaian bekalan.
Aranols berkata, kerjasama itu telah membolehkan Nestle membangunkan ekosistem halal yang menyeluruh serta melangkaui operasinya.
“Komitmen kami adalah satu amanah yang kami pikul setiap hari di seluruh operasi dan rantaian nilai, daripada kemudahan pembuatan bersijil halal hinggalah kepada komuniti yang kami beri khidmat.
“Bersama Jakim dan pihak pemegang taruh yang sehaluan, kami telah memupuk ekosistem halal menyeluruh yang memperkasa golongan belia, menyokong usahawan dan mengukuhkan rantaian bekalan tempatan,” katanya. – Bernama



