WASHINGTON – Satu analisis perisikan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mungkin mensabotaj usaha damai Washington bersama Teheran selepas Tel Aviv yang turut terlibat konflik itu sejak dari awal telah disisihkan daripada proses rundingan tersebut.
The Washington Post memetik kenyataan sumber rapat risikan AS mendedahkan Israel sengaja mahu meneruskan kempen pencerobohan ke atas Lubnan yang menjadi antara syarat utama untuk memeterai perjanjian damai tersebut.
Kedudukan politik Netanyahu menjelang pilihan raya awal dijangka pada akhir tahun ini bergantung kepada keupayaannya mengekalkan kehadiran tentera Israel di selatan Lubnan serta meningkatkan serangan terhadap pejuang Hizbullah.
Kelangsungan politik pemimpin ‘ekstremis’ itu dikatakan berkait rapat dengan keputusannya untuk terus menguasai kawasan yang diceroboh di Beirut dan terus memperhebat konflik dengan kumpulan proksi Iran tersebut.
“Israel sebenarnya tidak berpuas hati dengan 14 perkara memorandum persefahaman (MoU) yang memberi kelebihan kepada Teheran kerana ia telah menggugat objektif asal mereka untuk memberi tekanan maksimum ke atas Iran,” jelas laporan itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita Axios memaklumkan Wakil Khas AS, Steve Witkoff dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sedang menuju ke Switzerland untuk rundingan lanjut selepas ia ditangguhkan pada saat akhir.
Selain itu, negara perantara proses damai termasuk Arab Saudi dan Turkiye dijadualkan bertemu di Mesir untuk membincangkan perkembangan serantau serta bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan keamanan, keselamatan dan kestabilan pada Ahad. – Agensi



