BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu gagal memperoleh majoriti Parlimen meskipun blok pimpinannya mendahului pembangkang dalam keputusan akhir pengiraan undi pilihan raya umum pada Jumaat.
Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel, gabungan parti sayap kanan Netanyahu memenangi 53 daripada 120 kerusi Knesset, manakala parti Likud muncul sebagai parti tunggal terbesar dengan 27 kerusi.
Blok pembangkang pimpinan Gadi Eisenkot pula memperoleh 48 kerusi, sementara dua kumpulan parti Arab, Ra’am dan Joint List meraih keseluruhan 19 kerusi.
Keputusan itu menjadikan parti Arab berpotensi menentukan pembentukan kerajaan kerana mana-mana gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi untuk memperoleh majoriti.
Bagaimanapun, rundingan dijangka sukar dan pilihan raya baharu mungkin diperlukan sekiranya tiada kesepakatan dicapai.
Sementara itu, kem Netanyahu mendakwa parti Arab menerima pembiayaan dari Qatar bagi mempengaruhi pengundian, namun belum mengemukakan bukti terbuka.
Ketua Ra’am, Mansour Abbas menafikan dakwaan tersebut, manakala Qatar turut menolaknya.
Agensi keselamatan Shin Bet sedang menyiasat dakwaan penyelewengan, tetapi menegaskan siasatan tidak bertujuan menyalahkan seluruh masyarakat Arab.
Jawatankuasa Pilihan Raya pula menyifatkan dakwaan penyelewengan meluas sebagai tidak berasas.
Ketua Joint List, Yousef Jabareen menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pembangkang untuk menamatkan pemerintahan Netanyahu tanpa menyertai kerajaan.
Keputusan pengiraan undi itu masih perlu melalui proses pengesahan rasmi sebelum rundingan pembentukan kerajaan dapat dimulakan. – AFP



