Berlin: Kapten Bayern Munich, Manuel Neuer terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan otot betis ketika meraikan jaringan dalam kemenangan 3-0 ke atas Bayer Leverkusen pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Neuer, 38, dilihat terhincut-hincut sebelum digantikan pada separuh masa kedua sejurus selepas Jamal Musiala meledak gol kedua Bayern dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir itu.
Situasi itu menyaksikan penampilan sulung buat penjaga gol muda, Jonas Urbig, 21, yang tiba dari Cologne pada jendela perpindahan musim sejuk lalu.
Bayern dalam satu kenyataan mengesahkan kecederaan kapten mereka itu dan memaklumkan bahawa Neuer ‘akan direhatkan buat sementara waktu’.
“Ia berlaku ketika meraikan gol,” kata jurulatih Bayern, Vincent Kompany.
“Ia sangat mengecewakan buat kami.”
Neuer, yang baru sahaja melanjutkan kontraknya hingga 2025, sebelum ini terlepas hampir setahun penuh akibat patah kaki ketika bermain ski pada Disember 2022 sebelum kembali beraksi Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, Urbig tidak banyak diuji dalam aksi sulungnya kerana Bayern mendominasi perlawanan berdepan juara bertahan Bundesliga itu.
Bayern kini selesa di persada liga dengan kelebihan lapan mata dan akan bertandang ke Leverkusen untuk aksi timbal balik minggu depan dengan kelebihan selesa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




