New Zealand, Pakistan berentap di final

New Zealand, Pakistan berentap di final

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: New Zealand meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala Negara-Negara selepas mara ke pentas final menewaskan Korea Selatan pada aksi separuh akhir, hari ini.

Namun mereka tidak mendapat laluan mudah apabila Korea Selatan memberi tentangan sengit sebelum melakar kemenangan menerusi penentuan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar.

Pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini, New Zealand bermula baik apabila mendahului 2-0 selepas Jonty Elmes dan Dylan Thomas masing-masing menjaringkan gol padang minit ke-10 dan 19.

Namun Korea bangkit menyamakan kedudukan, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Lim Dohyun dan Yang Jihun pada minit ke-25 dan 37.

New Zealand akan membuat perhitungan dengan Pakistan pada aksi final esok.

Pakistan mara apabila menewaskan naib juara edisi lalu, Perancis menerusi penentuan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa penuh.

Perancis mendahului dua gol menerusi jaringan padang Xavier Esmenjaud dan pukulan sudut penalti Victor Charlet masing-masing pada minit ke-25 dan 34.

Namun Pakistan meraih tiga gol pantas dalam tempoh lima minit hasil jaringan Afraz minit ke-38, Sufyan Khan (m-42) dan Muhammad Hammadudin minit ke-43.

Ketika Pakistan diambang kemenangan, Victor Charlet menyamakan kedudukan untuk Perancis dua minit sebelum tamat perlawanan menerusi pukulan sudut penalti, sekali gus menyaksikan perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top