THAILAND – Seorang sami Buddha berusia 37 tahun meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik selepas cuba menyelamatkan seekor anjing yang terperangkap pada pagar kawat berduri.
Mangsa tidak menyedari pagar tersebut mempunyai arus elektrik susulan kerosakan pada tiang elektrik berhampiran.
Memetik laporan portal Naewna, kejadian berlaku di daerah Pathum Ratchawongsa, Amnat Charoen di sini pada 1 Julai lalu.
Mangsa, Phra Tom yang berasal dari Kuil Wat Nong Nam Khun di kawasan tersebut dilaporkan sedang menjalankan rutin kutipan sedekah pada awal pagi di komuniti setempat sebelum terdengar bunyi anjing menyalak dipercayai dalam kesusahan.
Dia kemudiannya menemukan anjing itu dalam keadaan tersangkut pada pagar kawat berduri di tepi jalan.
Mangsa difahamkan menghampiri haiwan berkenaan dan cuba merenggangkan kawat tersebut menggunakan tangan bagi membolehkan anjing itu melepaskan diri.
Bagaimanapun, tanpa disedari arus elektrik voltan tinggi sedang mengalir melalui pagar tersebut akibat kerosakan pada tiang elektrik berhampiran.
Sebaik kedua-dua tapak tangannya menyentuh kawat itu, dia terkena renjatan elektrik sebelum rebah di lokasi kejadian.
Orang awam yang berada di tempat kejadian segera memberikan bantuan dan menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pathum Ratchawongsa, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.
Hasil pemeriksaan mendapati kesan lecur yang teruk akibat renjatan elektrik pada kedua-dua tangan mangsa, tanpa sebarang kecederaan lain atau unsur jenayah.
Doktor menyimpulkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kegagalan jantung akut selepas arus elektrik voltan tinggi mengalir ke dalam tubuhnya.
Susulan kejadian itu, polis Wilayah Amnat Charoen mengeluarkan amaran keselamatan kepada orang ramai dengan memaklumkan bahawa keadaan tanah yang basah serta kelembapan tinggi pada musim hujan meningkatkan risiko renjatan elektrik.
Penduduk juga dinasihatkan supaya menjauhi peralatan elektrik yang rosak atau terdedah, mengelakkan daripada menyentuh pagar logam atau kawat berduri berhampiran tiang elektrik, terutama ketika atau selepas hujan.
Selain itu, penduduk disaran segera melaporkan sebarang kerosakan elektrik yang disyaki kepada pihak berkuasa berkaitan. – Agensi



