KLUANG – Memasuki hari kedua siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat dalam program ‘PMX Santai Sarapan’ di Simpang Renggam dekat sini.
Ketibaan Perdana Menteri kira-kira 8.40 pagi di Warung Pak Din disambut dengan sorakan penuh semangat oleh ribuan penyokong serta jentera PH, yang mula membanjiri pekarangan premis berkenaan seawal 7 pagi.
Suasana di sekitar premis berkenaan seolah-olah bertukar menjadi ‘gelombang merah’ apabila majoriti pengunjung mengenakan pakaian berwarna merah sebagai manifestasi sokongan terhadap gabungan itu, sekali gus menyemarakkan lagi bahang kempen di kawasan berkenaan.
Kehadiran penduduk daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang kaum yang berkumpul bersama pemimpin nombor satu negara itu jelas mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan masyarakat setempat.
Dalam suasana yang cukup santai dan mesra itu, Anwar meluangkan masa hampir sejam untuk bersarapan dan beramah mesra, selain tidak melepaskan peluang melayani permintaan orang ramai untuk berswafoto.
Sesi itu memberikan ruang kepada penduduk tempatan untuk berinteraksi secara dekat dan menyatakan aspirasi mereka kepada Perdana Menteri sebelum beliau meneruskan jadual kempen ke lokasi seterusnya.
Turut hadir pada program pagi ini ialah calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nur Hafiz Roslan dan calon DUN Layang-Layang, Guna Balakrishnan.
Pada PRN kali ini, PH mempertaruhkan calon di semua 56 kerusi DUN yang terdiri daripada 20 wakil PKR, Amanah (19) dan DAP (17).
Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai ini sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 7 Julai. – Bernama



