Nik Nazmi, Rafizi khianati mandat rakyat – AMK

Nik Nazmi, Rafizi khianati mandat rakyat – AMK

SHAH ALAM – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu demi mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) dianggap keputusan mengecewakan serta mengkhianati mandat rakyat, dakwa Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu patut memberi tumpuan penuh kepada amanah menjaga kebajikan rakyat dan membantu memperkukuh kestabilan negara.

Ia kerana baginya, perkara tersebut amat mustahak memandangkan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dunia serta cabaran krisis bekalan global.

“Sebaliknya, apa yang berlaku hari ini adalah percaturan politik peribadi, langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat yang memilih mereka atas tiket perjuangan reformasi dan kestabilan Kerajaan Madani.

“Rakyat Pandan dan Setiawangsa memberikan mandat untuk berkhidmat, bukannya menjadikan kerusi dimenangi sebagai batu loncatan membina platform politik baharu selepas menang pilihan raya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Danish berpendapat bahawa tindakan sedemikian juga memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab kerana memaksa negara berdepan pilihan raya kecil (PRK).

Tambah beliau, ia bakal melibatkan kos besar menggunakan wang rakyat ketika negara masih berusaha memulihkan ekonomi dan menghadapi cabaran global.

Jelasnya lagi, rakyat hari ini mahukan kestabilan politik, dasar konsisten dan pemimpin yang fokus bekerja menyelesaikan masalah rakyat.

“Bukannya ahli politik yang terus bermain percaturan demi ‘survival’ dan cita-cita politik sendiri.

“Jika benar mahu membawa idealisme atau perjuangan baharu, mereka sepatutnya mendapatkan mandat baharu lebih awal dan bukannya menggunakan kedudukan dimenangi atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memperkukuh parti lain,” ujar beliau.

Justeru, kata Danish, pihaknya akan terus istiqamah mempertahankan agenda reformasi, kestabilan kerajaan dan kepentingan rakyat tanpa tunduk kepada politik kecewa atau percaturan individu tertentu.

“Perjuangan reformasi tidak boleh dijadikan slogan ketika mahu meraih sokongan rakyat, kemudian ditinggalkan apabila kepentingan politik peribadi mula mengatasi amanah perjuangan,” tegas beliau.

Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR, seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan serta Setiawangsa, masing-masing berkuat kuasa pada Isnin.

Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya pada Ahad.

Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin, seterusnya pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.

Rafizi dan Nik Nazmi dalam program sama mengesahkan mengambil alih Bersama, iaitu parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.

Scroll to Top