Nilai awal kemusnahan Iran RM1.06 trilion

Nilai awal kemusnahan Iran RM1.06 trilion
Nilai awal kemusnahan Iran RM1.06 trilion

Bangunan kediaman penduduk turut dibedil AS bersama Israel sejak perang itu meletus pada 28 Februari lalu. Foto Agensi

TEHERAN – Penilaian awal kos kemusnahan di Iran disebabkan kempen pencerobohan Amerika Syarikat (AS) bersama Israel dianggarkan mencecah AS$270 bilion (RM1.06 trilion).

Angka itu diberikan jurucakap pemerintah, Fatemeh Mohajerani, namun beliau menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat setelah semakan secara menyeluruh dan terperinci.

“Tuntutan bayaran pampasan telah dibuat melalui saluran diplomatik dan dikemukakan ketika rundingan pertama di Islamabad pada akhir minggu lalu,” ujarnya.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir-Saeid Iravani dalam satu kenyataan turut menuntut ganti rugi daripada lima negara Teluk yang dijadikan ‘tapak’ untuk melancarkan kempen pengeboman ke atas Teheran selama lebih sebulan.

Ketika ini, pemerintah masih menilai kemusnahan melibatkan infrastruktur kritikal termasuk kemudahan minyak dan gas serta kilang keluli dan aluminium yang dibedil musuh.

Usaha untuk membaik pulih fasiliti yang binasa teruk seperti jambatan, rangkaian landasan kereta api, universiti, sekolah, kediaman penduduk, loji kuasa dan pusat penyelidikan dijangka mengambil masa selama beberapa tahun. – Agensi

Info:

>Data Persatuan Palang Merah Iran (IRCS) mendedahkan lebih 125,000 struktur awam separa rosak atau musnah teruk.

>Kempen pencerobohan ganas itu turut meragut sekurang-kurangnya 3,753 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

 

 

Scroll to Top