BEIJING – Sebuah filem animasi China yang pada awalnya menjadi bahan ejekan kerana kualiti visualnya kini mencetuskan fenomena luar biasa apabila hasil kutipannya telah melebihi 45 juta yuan (RM27 juta), hanya beberapa minggu selepas ditayangkan.
Niu Lai (Lembu Datang), filem bajet mikro hasil karya animator baharu, Xin Yumeng, bersama ibunya, Sun Lifang, 60, pada mulanya hampir gagal selepas hanya 236 tiket terjual dalam tempoh sembilan hari pertama tayangan.
Namun, selepas menjadi tular di media sosial, filem yang dihasilkan menggunakan komputer terpakai itu berubah daripada bahan ejekan kepada antara karya yang paling mendapat perhatian penonton China ketika ini.
Lebih menarik, sambutan terhadap Niu Lai bukan lagi semata-mata kerana kualiti animasinya yang dianggap rendah, sebaliknya kerana kisah kegigihan ibu dan anak itu menghasilkan sebuah karya dengan sumber yang amat terhad.

Poster lukisan tangan Niu Lai, yang bermaksud ‘Lembu Datang’, dipamerkan di sebuah pawagam di Beijing pada 21 Ogos 2026. Foto AFP
Kisah seekor anak lembu
Niu Lai mengisahkan seekor anak lembu yang tidak mampu berjalan.
Selepas bersahabat dengan seekor burung Skylark, anak lembu pemalu itu tertidur dan bermimpi mampu berdiri menggunakan kaki belakang sebelum memulakan perjalanan yang mengubah kehidupannya.
Dalam mimpinya, Niu Lai bertemu seekor ular, harimau bintang yang berani serta sekumpulan serigala ganas.
Ketika mengembara bersama ibunya dan kumpulan lembu merentasi kawasan belantara yang penuh ancaman, Niu Lai belajar berdikari selain memahami nilai keluarga dan persahabatan.
Selepas terjaga daripada mimpi itu, dia akhirnya mengambil langkah pertamanya dengan berani ke dunia yang lebih luas.

Niu Lai hampir sepenuhnya dihasilkan oleh dua beranak menggunakan komputer terpakai. Foto PR
Lima tahun dihasilkan
Yumeng yang berpangkalan di Dalian, wilayah Liaoning, menghasilkan Niu Lai selama lebih lima tahun menggunakan komputer terpakai yang dibeli secara dalam talian.
Kisah filem itu pula ditulis oleh ibunya.
Kedua-duanya turut memberikan suara kepada semua watak, selain menggubah dan mempersembahkan lagu tema filem tersebut.
Niu Lai diterbitkan menerusi Dalian Jingyuan Culture Film and Television Media, iaitu syarikat reka bentuk dalaman milik keluarga berkenaan yang dijenamakan semula bagi menerbitkan projek filem itu.
Pengedaran pula dilakukan oleh seorang rakan keluarga yang tetap meneruskan projek berkenaan walaupun mendapat nasihat daripada kenalannya.
Filem itu pada awalnya ditayangkan di 245 pawagam sebelum jumlah tayangan dikurangkan kepada hanya empat.
Dalam tempoh sembilan hari pertama, hanya 236 tiket terjual dengan kutipan sekitar 7,169 yuan (RM 4,315).
Tular selepas diejek
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila perbualan mengenai filem itu mula tersebar dalam talian.
Penonton tertarik dengan animasinya yang dianggap begitu lemah sehingga mereka terdorong menonton sendiri bagi melihatnya dengan mata sendiri.
Dalam tempoh singkat, penonton yang pada mulanya mengejek filem itu mula memburu tayangannya.
Jumlah sesi tayangan kemudian meningkat dengan pantas, diikuti lonjakan kutipan box office.
Pada masa sama, reaksi terhadap kelemahan teknikal filem itu mula berubah apabila semakin ramai penonton menghargai usaha di sebalik pembikinannya.
Sebuah komen popular mengenai filem berkenaan menggambarkan fenomena itu dengan menyatakan penonton mungkin menyesal menghabiskan 86 minit menontonnya, tetapi lebih menyesal jika tidak menontonnya langsung. – Agensi
