NORMALISASI KERJA BERLEBIHAN DALAM GENERASI Z

Petaling Jaya: Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, istilah hustle culture atau budaya kerja tanpa henti semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan Generasi Z. Budaya ini menekankan kerja berlebihan sebagai simbol kejayaan, sehingga seseorang dianggap lebih berjaya apabila mereka sentiasa “sibuk”, sentiasa bekerja, dan sentiasa mengejar pencapaian baharu. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara Barat, malah semakin ketara dalam kalangan remaja dan mahasiswa di Malaysia. Artikel ini membincangkan bagaimana budaya hustle menjadi normal dalam kehidupan Generasi Z, faktor yang mendorongnya, kesan terhadap kesejahteraan mental, serta langkah yang boleh diambil untuk mengimbangi kerja dan kehidupan.

Pepatah genggam bara api biar sampai jadi abu sering dijadikan motivasi dan pedoman untuk berusaha bersungguh-sungguh. Namun, yang menjadi kebimbangan ialah apabila usaha tersebut tidak dikawal dan dilakukan secara berlebihan sehingga menjejaskan aspek fizikal, mental, sosial dan persekitaran. Kemunculan fenomena ini disebabkan oleh beberapa faktor utama, antaranya tekanan ekonomi dan persaingan kerjaya yang mendesak generasi muda untuk bekerja keras. Dalam masa yang sama, peningkatan kos sara hidup serta peluang pekerjaan yang semakin kompetitif menyebabkan mereka berasa bimbang dan takut ketinggalan dalam persaingan. Stigma yang dipegang ialah bahawa “masa depan yang stabil memerlukan usaha yang luar biasa”.

Selain itu, media sosial turut menjadi penyumbang kepada fenomena ini. Hal ini demikian kerana media sosial merupakan medium utama penyaluran maklumat dan ruang masyarakat berkongsi kisah kehidupan mereka. Paparan kejayaan orang lain seperti kereta mewah, rumah besar, kekayaan dan pangkat secara tidak langsung mendorong generasi Z terjebak dengan social comparison. Mereka cenderung membandingkan diri dengan kejayaan orang lain sehingga berasa tertekan dan memaksa diri bekerja lebih keras untuk mencapai standard tersebut, sedangkan kejayaan bersifat subjektif dan tidak bergantung kepada sesiapa.

Penyebab lain yang dapat dilihat ialah glorifikasi terhadap produktiviti, iaitu masyarakat menjulang individu yang bekerja tanpa henti dan menganggap rehat sebagai sesuatu yang tidak penting. Dalam masa yang sama, rehat dilihat sebagai tanda kurang berusaha. Ungkapan seperti “grind now, shine later” menguatkan lagi stigma ini. Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, FOMO (Fear of Missing Out) juga merupakan faktor yang sangat mempengaruhi Generasi Z. Mereka berasa takut terpinggir atau ketinggalan sekiranya tidak menyertai pelbagai peluang seperti projek, pertandingan dan pekerjaan. Ketakutan ini mendorong mereka mengambil lebih banyak komitmen melebihi kemampuan sebenar

Perbincangan ini bukanlah untuk menafikan kepentingan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu, sebaliknya bertujuan mengelakkan dan membendung implikasi negatif yang mungkin berlaku. Antara kesan buruk yang boleh dihadapi ialah keletihan melampau. Apabila terlalu banyak komitmen perlu digalas, khususnya dalam kalangan pelajar dan belia, mereka mudah kehilangan motivasi dan mengalami kemerosotan prestasi, bukan sahaja terhadap matlamat peribadi, malah pencapaian akademik turut terjejas. Selain keletihan fizikal, kesihatan mental juga perlu dititikberatkan kerana fenomena ini boleh meningkatkan risiko kemurungan, kebimbangan (anxiety) dan tekanan yang melampau. Tambahan pula, tekanan untuk sentiasa kelihatan berjaya di mata orang lain menyebabkan kesejahteraan mental sukar dicapai.

Dari sudut sosial, individu yang terperangkap dalam budaya ini sering kekurangan masa bersama rakan dan keluarga, sekali gus menyebabkan mereka berasa terasing dan keseorangan. Bahkan, jika produktiviti sesebuah organisasi atau syarikat ingin dicapai, matlamat tersebut hanya boleh direalisasikan melalui kualiti pekerja dan ahli, bukan semata-mata berdasarkan kuantiti penghasilan

Persoalannya, apakah langkah yang perlu diambil bagi memastikan budaya hustle ini dapat dikekalkan secara seimbang tanpa menjejaskan kesejahteraan diri? Antaranya ialah memperbetulkan cara berfikir dengan mengutamakan rehat. Rehat perlu dilihat sebagai satu keperluan dalam bekerja, bukannya ganjaran selepas bekerja. Contohnya, waktu rehat dan masa untuk bertenang perlu dijadualkan sama seperti waktu bekerja. Langkah ini dapat mengurangkan risiko keletihan melampau serta membantu menstabilkan gaya hidup sihat Generasi Z.

Selain itu, menetapkan batas komitmen dengan berani mengatakan “tidak” terhadap beban kerja yang berlebihan serta mengenali kemampuan diri agar tidak bertindak secara ekstrem juga amat penting. Sebagai Generasi Z yang baru didedahkan dengan realiti kehidupan, mereka seharusnya memberi fokus kepada proses, bukan semata-mata hasil. Menikmati perjalanan pembelajaran dan mengurangkan tekanan untuk mencapai kesempurnaan dalam masa singkat adalah penting kerana kegagalan juga merupakan sebahagian daripada proses pertumbuhan. Langkah paling penting ialah bersikap realistik terhadap apa yang dipaparkan di media sosial, kerana di sebalik setiap kejayaan terdapat usaha jangka panjang, cabaran dan pengorbanan yang tidak ditonjolkan.

Tuntasnya, budaya hustle dalam kalangan Generasi Z menunjukkan bagaimana masyarakat moden mengagungkan produktiviti sehingga rehat dianggap sebagai kelemahan. Dorongan media sosial, tekanan ekonomi dan keinginan untuk sentiasa membuktikan diri telah menjadikan kerja berlebihan sesuatu yang normal. Akibatnya, ramai anak muda terperangkap dalam gaya hidup yang tidak seimbang, di mana kejayaan diukur melalui kesibukan dan pencapaian semata-mata, bukan kesejahteraan diri. Fenomena ini memberi kesan besar terhadap kesihatan mental seperti burnout, tekanan emosi dan perasaan tidak pernah cukup walaupun telah berusaha keras.

Oleh itu, generasi muda perlu memahami bahawa kejayaan sebenar bukanlah hasil kerja tanpa henti, tetapi keseimbangan antara usaha, rehat dan hubungan sosial yang sihat. Masyarakat juga perlu mengubah naratif bahawa produktiviti adalah segala-galanya kerana manusia bukan mesin yang boleh berfungsi tanpa henti. Dengan memupuk budaya kerja yang lebih seimbang, Generasi Z mampu membina masa depan yang lebih sihat, mampan dan bermakna tanpa mengorbankan diri sendiri demi mengejar standard kejayaan yang tidak realistik.

OLEH: MUHAMMAD NA’IMUL AFEEF BIN MOHD YUSOFF
PELAJAR JABATAN AKIDAH DAN PEMIKIRAN ISLAM.
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA

Scroll to Top