SHAH ALAM – Penulis novel fizikal perlu sentiasa kreatif, mempunyai identiti tersendiri dan peka terhadap isu semasa bagi memastikan karya terus kekal relevan dan mempunyai tempat dalam industri penulisan Malaysia.
Penulis novel, Ahadiat Akashah berkata, perkembangan dunia digital tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya dimanfaatkan untuk mengetengahkan isu yang dekat dengan masyarakat dalam bentuk penceritaan kreatif.
Menurutnya, peristiwa seperti peperangan, sukan dan rasuah boleh dijadikan bahan novel sekiranya diolah dengan pendekatan yang menarik.
“Cabaran itu tetap ada apatah lagi sekarang semuanya digital tetapi kena cari sesuatu yang di luar daripada kebiasaan.
“Pada 2010, saya sudah melihat keadaan itu dan sebagai penerbit serta penulis pada waktu tersebut, saya berhenti kerana merasakan novel fizikal ini akan terkubur tetapi hakikatnya tidak walaupun selepas 15 tahun.
“Jadi kita lihat lagi 15 tahun ke hadapan dan saya rasa ia tidak akan terkubur. Tengok seperti piring hitam, orang akan simpan sebab ada nilai tersendiri,” katanya ketika menjadi panel Konvensyen Penulisan Novel bagi sesi bertajuk Masa Depan Novel, Ke Mana Arahnya?’.
Konvensyen Penulisan Novel diadakan sempena Festival Novel Malaysia 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 27 September di Kompleks Karangkraf.

Antara peserta yang sertai Konvensyen Penulisan Novel sempena Festival Novel Malaysia yang berlangsung di Kompleks Karangkraf bermula 23 hingga 27 September 2026.
Sementara itu, Senior Executive Producer, Dr Kenny Kihyung Bae KBS World TV berpendapat, Malaysia tidak perlu meniru Korea untuk menembusi pasaran kandungan global, sebaliknya perlu berani mengangkat keunikan budaya dan cerita tempatan.
Beliau berkata, ini kerana kekuatan sesebuah karya bukan sekadar bergantung kepada jalan cerita tetapi dipengaruhi budaya dan ekosistem kreatif.
“Anda tidak perlu meniru Korea atau menjadi Korea. Hanya perlu menghasilkan lebih banyak karya yang benar-benar mencerminkan Malaysia supaya ia lebih dekat dan dirasai oleh masyarakat.
“Sebab itu kepelbagaian yang dimiliki Malaysia perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan dalam membina identiti karya tempatan seterusnya bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kenny berkata, semangat ‘palli-palli’ yang sinonim dengan Korea membawa maksud kepantasan, tenaga dan kecekapan, boleh digabungkan dengan ‘Malaysia Boleh’ bagi memperkukuh industri kreatif tempatan.
“Kalau gabungkan kedua-dua semangat itu, saya percaya Malaysia mampu mencetuskan perubahan lebih baik,” ujarnya.

Datuk Ahmad Izham Omar (kanan) bergambar bersama Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (tengah) ketika menjadi panel pada Konvensyen Penulisan Novel sempena Festival Novel Malaysia yang berlangsung di Kompleks Karangkraf bermula 23 hingga 27 September 2026.
Pengasas Komet Production, Datuk Ahmad Izham Omar memberitahu, Malaysia sebenarnya mempunyai banyak cerita unik yang berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa, namun kekuatan itu perlu disokong dengan pembangunan skrip (script development) yang lebih kukuh.
Menurutnya, aspek pembangunan skrip bagi filem dan siaran televisyen di Malaysia masih belum cukup kuat berbanding beberapa negara lain di rantau Asia.
“Selalunya script development dekat sini masih agak lemah kerana kita tidak mempunyai cukup penulis yang kompetitif dan benar-benar menguasai penulisan untuk filem dan televisyen.
“Jadi saya rasa ini daripada ‘skills training’ yang kena ada. Saya tengok kalau di Asia negara paling kuat dalam pembangunan cerita adalah Korea dan Indonesia,” ujarnya.



