sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli merancang untuk ‘menyimpan tenaga’ ketika mengharungi tiga peringkat pendakian sebelum melancarkan serangan pada penghujung Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026.
Aiman yang meraih tempat kedua dalam satu peringkat perlumbaan pada edisi tahun lalu, menyasarkan tiga peringkat terakhir sebagai medan terbaik untuk memburu kemenangan.
Juara kebangsaan tujuh kali berturut-turut itu berkata, dia tidak bercadang memaksa diri pada tiga peringkat yang menyajikan pendakian, sebaliknya mahu memastikan dapat menamatkan perlumbaan dalam had masa ditetapkan.
Edisi kali ini menyajikan tiga peringkat pendakian mencabar iaitu Peringkat 2 dari Taiping ke Gunung Jerai; Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands dan Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands.
“Tahun ini ada tiga peringkat pendakian. Jadi, perancangan saya adalah untuk menamatkan peringkat berkenaan tanpa terlalu memaksa diri dan memastikan tidak terkeluar daripada had masa.
“Saya mahu simpan tenaga untuk peringkat keenam, ketujuh dan kelapan. Saya akan cuba melakukan ‘breakaway’ sehingga ke garisan penamat, bukan sekadar berada dalam kelompok pemecah.
“Memang itu perancangan saya. Untuk tiga peringkat terakhir, saya akan bekerja keras sehingga ke garisan penamat dan menyimpan sebanyak mungkin tenaga sebelum itu,” katanya.
Menurut Aiman, pendekatan berkenaan hampir sama seperti yang dilakukannya tahun lalu apabila memberikan tumpuan sepenuhnya kepada peringkat yang dikenal pasti sesuai dengan kekuatannya.
Peringkat 7 dan 8 kali ini turut membawa makna istimewa buat Aiman apabila laluan perlumbaan melalui kawasan kampung halamannya di Tangkak, Johor.
Situasi itu pastinya memberikan motivasi tambahan buatnya, terutama dengan kehadiran ahli keluarga yang dijangka turun memberikan sokongan.
“Sama seperti tahun lalu, apabila tiba peringkat yang saya sasarkan, saya akan lakukan sehabis baik.
“Saya harap keluarga dapat datang memberikan sokongan dan selepas itu, kalau boleh menang di Putrajaya,” katanya yang meraih penamat di tempat kedua pada Peringkat 7 dari Melaka ke Medini tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




